Pemilihan PKR: Saifuddin kacau daun Azmin SIRI 8

Pemilihan PKR: Saifuddin kacau daun Azmin

Malaysiakini
Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail kini dilihat calon utama berpeluang merampas kerusi timbalan presiden PKR yang kini disandang orang lama parti itu Azmin Ali.

Dengan penarikan diri penyandang naib presiden Tian Chua daripada persaingan sama, pasukan Saifuddin dilihat lebih kuat berbanding pasukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tian Chua turut dilihat bersama pasukan Saifuddin yang turut disokong pemimpin popular PKR Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

Kumpulan ini berpotensi mendapat sokongan golongan muda dan profesional dalam parti.

Walaupun sebelum ini seluruh negara melihat perseteruan Khalid-Azmin sejak beberapa tahun kebelakangan bakal mencapai kemuncak kali ini, penyertaan Saifuddin dilihat bakal mengubahnya.

Tambahan lagi, Saifuddin memasuki gelanggang ketika ramai pihak dikatakan mulai bosan dan penat dengan perseteruan tidak berkesudahan Khalid-Azmin dalam pelbagai isu, daripada hal pentadbiran Selangor kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Kempen Saifuddin telah mengambil 'kesempatan' terhadap krisis antara Azmin dan Khalid.

"Kalau dulu dia kata Azmin dan Khalid tak boleh bekerjasama, sekarang siapa yang tidak boleh bekerjasama," kata sumber yang dekat dengan Azmin dan enggan namanya didedahkan.

Justeru, munculnya Saifuddin, yang sebelum ini banyak beraksi di belakang tabir, meletakkannya di landasan paling tepat untuk menewaskan Azmin.

Khalid makin tersudut

Keadaan Khalid, yang sebelum ini dilihat mewakili kepentingan kumpulan anti-Azmin, pula semakin tersudut.

Terbaru, kemasukan penyandang presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor juga sekali gus memberi tekanan tambahan kepada Khalid.

"Dengan adanya Wan Azizah, Tan Sri (Khalid) perlu mendengar dan tidak boleh melakukan sesuka hati pentadbiran negeri," kata Rafizi Ramli, calon naib presiden kepada Malaysiakini.

Rafizi bercakap dalam konteks Khalid kini secara terbuka diminta oleh ADUN Pakatan Rakyat untuk mula mengendahkan suara dan kedudukan wakil rakyat lain, terbaru dalam sidang DUN yang sedang berjalan.

Bagi penyokong Azmin pula, mereka beranggapan Khalid bukan lagi tokoh popular parti walaupun mencipta nama dengan cepat sejak menyertai PKR pada 2007 – selepas lapan tahun PKR ditubuhkan (ketika itu dikenali Parti Keadilan Nasional).

"Kenapa letakkan isu ini Azmin lawan Tan Sri Khalid? Realitinya seluruh parti menentang Khalid.

"Bukti: seluruh MPP (Majlis Pimpinan Pusat) sokong langkah Kajang," tulis anggota MPP parti itu Khalid Jaafar semalam.

Azmin, calon paling kanan dalam persaingan itu bagaimanapun turut berdepan label elitis dan bertanggungjawab terhadap barisan calon yang didakwa kurang berupaya dalam pilihan raya umum lalu.

"Ramai (anggota) di kalangan akar umbi tidak berpuas hati dengan keputusan Azmin yang meletakkan calon-calon yang tidak dikenali, malah bukan di kalangan yang bekerja di kawasan tersebut ketika PRU 13 lalu.

"Mengapa sehingga kini belum ada bedah siasat di atas kegagalan calon 'pilihan' MPN untuk PRU13?

"Siapakah individu di sebalik kegagalan untuk menguasai Negeri Sembilan dan menawan kembali Perak ?" tegas seorang penggerak kempen Khalid yang namanya didedahkan.

Serangan alam maya

Bagaimanapun Azmin tetap dilihat sebagai calon pilihan yang telah pun menyusun gerakan secara 'senyap' sejak sekian lama di peringkat akar umbi.

"Azmin nampak senyap tetapi kini telah pun bergerak menyusun pasukan beliau. Tak perlu menonjol," kata seorang ahli parti yang bersekutu dengan Azmin.

Daripada aspek kempen maya, kekuatan dilihat berpihak kepada Azmin dan Saifuddin.

Ketika mereka cuba mengembangkan pengaruh di Facebook dan Twitter, Khalid sebagai pencabar ketiga pula sebaliknya terpaksa bergelut dengan serangan di Internet.

Gambar program kempennya yang bertemakan "Menuju Reformasi Tulen” yang tidak mendapat sambutan dikesan dihebahkan di laman sosial.

"Gambar itu tak betul, kumpulan lain hebahkan, gambar diambil sebelum Tan Sri datang," nafi sumber dari pejabat Menteri Besar kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Khalid dilihat sebagai calon yang mempunyai rekod bersih tetapi bukan seorang yang bekerja secara berpasukan ataupun meraih populariti di mata akar umbi.

Pengundian bagi pemilihan PKR secara pemilihan langsung akan bermula 26 April ini sehingga 11 Mei depan secara berperingkat mengikut negeri.

Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti layak mengundi.
 

No comments: