Saiz Teks: A A A

Himpunan Hijau: Amaran rakyat tolak projek ancam kesihatan

(Oleh Amiruddin Ahmad)
KUALA LUMPUR 3 September: Himpunan Hijau Raub semalam yang mengumpul hampir 15,000 peserta memberi amaran keras kepada kerajaan BN negeri dan pusat agar menghentikan segera sebarang industri yang membahayakan kesihatan mahupun nyawa penduduk.
Himpunan bertemakan anti-sianida dan jatuhkan BN ini mengumpul paling banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam menggerakkan peserta.
Antara yang terlibat ialah Anti Lynas, BADAR, Anti Insinerator Cameron Highlands, Anti Sianida, Anti High Voltage Rawang, Pengerang Group, Bukit Merah, Gabungan Penduduk Bukit Koman, Jaringan Orang Asal Pahang dan beberapa kumpulan kecil lain.
Bantahan bermula di pekan Raub kira-kira jam 2.15 petang dan demonstran berkumpul di Padang Kompleks Sukan Raub.
Mereka membawa sepanduk dan kain rentang mengecam syarikat pengendali lombong emas, Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd yang menyebabkan gangguan kesihatan ke atas penduduk di Kampung Baru Bukit Koman.
Mereka juga mengutuk Ahli Parlimen Raub, Dr Ng Yen Yen yang memungkiri janji untuk menangani isu itu tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Di Pahang, antara projek besar yang dianggap mengancam keselamatan penduduk dan boleh menjejaskan industri pelancongan ialah Lynas di Gebeng berdekatan Pantai Balok. Manakala di Cameron Highlands pula kerajaan negeri membenarkan pembinaan insinerator memproses sampah sarap.
Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir memberi sokongan ialah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw; Ahli Jawatankuasa DAP, Ronnie Liu; Adun Rawang, Gan Pei Nei dan pimpinan Pakatan Rakyat tempatan.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=35340

No comments: