PRU pada musim Haji: Pemuda PAS desak Majlis Fatwa keluarkan fatwa Nik Abduh Nik Abdul Aziz |

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli-ahli dan para penyokong PAS yang akan menunaikan haji pada tahun ini menundakan haji mereka untuk mengutamakan pilihanraya umum ke-13 mendapat hentaman hebat bertubi-tubi daripada pihak media arus perdana yang dikelolai UMNO  dan BN.

Seandainya Najib Razak tetap ingin mengadakan pilihanraya semasa musim haji, maka seramai lebih kurang 20 ribu rakyat Malaysia yang sedang menunaikan haji telah terlepas dan terhalang haknya untuk memilih dan mengundi.

Apa yang membimbangkan DPPM dan mengecewakan seluruh rakyat Malaysia  amnya, sehingga hari ini Perdana Menteri Malaysia masih bermain tarik tali untuk membubarkan parlimen dan sekaligus mengumumkan tarikh pilihanraya umum ke-13.

Justeru, dalam menangani isu ini pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ingin bertegas untuk mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan agar mengeluarkan fatwa atau sekurang-kurangnya pendirian umum Majlis Fatwa berkenaan dengan isu mengadakan pilihanraya dalam musim haji.

Jika Majlis Fatwa Kebangsaan JAKIM mampu bersuara dan mengeluarkan fatwa untuk aktiviti yang berkaitan dengan pihak pembangkang, maka amatlah wajar Majlis Fatwa untuk mengeluarkan fatwa dan pendirian berhubung dengan isu yang amat besar ini walaupun ia berkaitan dengan Kerajaan Malaysia.

Selari dengan fungsi yang ditetapkan oleh pihak JAKIM terhadap bahagian Pengurusan Fatwa, Majlis Fatwa menjadi penasihat kepada Kerajaan Persekutuan dalam hal-hal berkaitan dengan fatwa dan juga menjadi sumber rujukan dengan mengemukakan fatwa sebagai penyelesaian terhadap setiap permasalahan berkaitan hukum-hakam.

Isu mengadakan pilihanraya semasa musim haji adalah isu yang amat besar dan serius, kerana ia melibatkan kehormatan kita sebagai umat Islam terhadap musim ibadah tersebut dan juga hak rakyat Malaysia seramai lebih kurang 20 ribu orang yang terjejas dan kehilangan hak memilih, Majlis Fatwa mesti bertindak cepat sebelum terlambat.

Mengambil ibrah tercetusnya perjanjian Hudaibiyah, apabila Rasulullah S.A.W dan para sahabat bermusafir ke Makkah dengan berpakaian ihram dan tidak membawa senjata kerana menghormati "asyhurul ahram" (bulan-bulan mulia yang diharamkan peperangan oleh Allah).

Saya mewakili DPPM berharap agar pihak yang berwajib yang menanggung amanah ini tidak mengambil sikap sambil lewa dalam menangani permasalahan umat seperti ini, janganlah bersikap memilih bulu pihak-pihak berkepentingan sahaja dalam hal ini demi menjaga kemaslahatan yang lebih besar. 

*Kenyataan media oleh Nik Abduh Nik Abdul Aziz (gambar kiri) selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.