PAS Ingati HIMPUN Agar Tidak Cetus Ketegangan Antara Agama

SHAH ALAM 17 OKT : Kristianisasi bukan ancaman besar terhadap umat Islam, sebaliknya sikap perkauman, sekularisme dan meterialisme merupakan ancaman sebenar yang sekian lama melingkari umat Islam di negara ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Abd Rani Osman dalam satu sidang media berkenaan Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Pejabat PAS Selangor di sini hari ini.

Abd Rani menyeru pihak penganjur HIMPUN agar menumpukan perhatian dan tindakan kepada ancaman sebenar terhadap aqidah umat islam sekaligus meminggirkan usaha pihak tertentu untuk menimbulkan ketengangan di antara agama di negeri Selangor.

"Sebarang usaha melaga-lagakan antara penganut pelbagai agama dengan tidak berserta sebarang bukti kesalahan yang diputuskan mahkamah perlu dijauhi."

"Tindakan sebegini hanya bertujuan untuk menutup masalah sebenar yang menimpa umat Islam, di mana aqidah mereka dicemari oleh fahaman sekularisme dan sebagainya yang pada akhirnya meletakan kesalahan itu dibahu pihak lain."

Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) akan di adakan di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu, 22hb Oktober ini bermula jam 2 petang hingga 5.30 petang.

Panganjuran HIMPUN adalah satu inisiatif dari pelbagai pertubuhan dan individu Islam sebagai satu wadah untuk menentang apa yang dikatakan percubaan untuk menyebar ajaran Kristian kepada orang Islam.

Sekretariat HIMPUN dipengerusikan secara bersama oleh Dr Yusri Mohamad dan Mohd Azmi Abdul Hamid mewakili Majlis Perundingan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Dr. Yusri Mohamad mewakili Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan setiausahanya, Aminuddin Yahaya, mewakili Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Mengulas lanjut, Abd Rani yang juga ADUN Meru berkata, pemikiran umat Islam juga dirosakkan oleh pihak yang memperlekehkan hukum hudud dan yang membawa ideologi bahawa politik adalah berasingan daripada agama.

"Begitu juga penyelewengan dan rasuah dipandang remeh serta kesalahan-kesalahan merampas hak rakyat dan mencabul kepentingan awam diambil mudah oleh sebahagaian umat Islam."

Turut hadir, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS), Noraini Hussein.

Khalid Samad berharap penganjuran HIMPUN mampu membuka mata umat Islam tentang kejahilan mereka serta tidak mencetuskan ketengangan antara agama sebaliknya mengambil pendekatan memperbaiki kelemahan yang ada didalam setiap institusi agama dan umat Islam.

"Harapan kita penganjur memahami masalah yang sebenar membelenggu umat Islam, dan cara bagaimana untuk menyelesaikannya,"

"Kita perlu menangani masalah yang sebenar iaitu kejahilan umat Islam itu sendiri dan kegagalan pemimpin-pemimpin Islam yang ada dalam menunjukan sikap serta contoh tauladan."

No comments: