Reformasi Pilihan Raya : Hanya Suruhanjaya Diraja Langkah Terbaik




KUALA LUMPUR 21 OGOS: Sayap kanan Parti Keadilan Rakyat yakin langkah terbaik untuk melakukan penambahbaikan dalam sistem pilihan raya di negara ini adalah melalui penubuhan suruhanjaya diraja.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar ketika dihubungi Tv Selangor berkata, sikap dolak-dalih yang ditunjukkan oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai reformasi pilihan raya, menunjukkan ia tidak lebih dari gimik politik semata-mata.

Oleh itu katanya, hanya melalui suruhanjaya diraja kecelaruan dalam sistem pilihan raya dapat diperbaiki.

“Soal PAS mencadangkan suruhanjaya diraja itu.. saya ingat ia adalah satu langkah yang baik, pengumuman Datuk Seri Najib sendiri dalam hal ini pun, kita nampak adalah satu gimik politik untuk menunjukkan kononnya bahawa beliau Perdana Menteri yang responsif pada hal yang berkaitan dengan pilihan raya.

“Walhal ini bukan sekadar pengumuman tetapi kita mahukan perubahan yang sebenarnya dari segi sistem dan beberapa keadah penipuan yang berjaya kita kesan,"kata beliau.

Ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub semalam berkata, sikap 'flip flop' yang ditunjukkan oleh Najib menyebabkan Parti Islam Se-Malaysia itu tawar hati untuk menyertai PSC.

Sebaliknya, PAS terus berpegang supaya ditubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.

Panel parlimen mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya akan ditubuhkan pada Oktober depan.

Bagaimanapun kelmarin Najib yang juga Presiden Umno berkata pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding PSC yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Malah Najib memberitahu oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan dilakukan terlebih dahulu.

Malaysiakini melaporkan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat Rabu depan untuk membuat keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Perdana Menteri dan BN untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya sebelum pilihan raya umum ke-13.

Laporan itu yang memetik kenyataan media oleh ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyatakan, PAS juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaannya.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, semua pihak harus menolak penubuhan PSC dan mendesak suruhanjaya diraja ditubuhkan demi membersihkan sistem pilihan raya negara ekoran ketidakseriusan Najib.

“Saya kira (PSC) wajar ditolak bukan sahaja oleh PAS, tetapi juga PR oleh NGO-NGO lain yang berminat apabila kita bersungguh-sungguh untuk melakukan perubahan.. tetapi dalam masa sama kerajaan tidak bersedia untuk mendengar, seperti pepatah Melayu mengatakan, anjing menyalak bukit, tidak memberi kesan yang signifikan terhadap perubahan sistem pilihan raya ini,"katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berharap Najib berpegang pada prinsipnya sebelum ini untuk memastikan keputusan-keputusan yang dibuat dalam PSC dilaksanakan sebelum PRU13 diadakan.

“Sekarang DAP dan Pakatan Rakyat akan memutuskan perkara ini. Memang pada awal, saya mengalu-alukan cadangan PSC (tetapi) kalau ada langkah yang serius dan bukan hanya satu skrip dan inilah asas penekanan kita.

“(Jadi) ini menimbulkan (tanda tanya) apa guna PSC (ditubuhkan) kalau usaha PSC itu akan sia-sia. Apa yang mustahak sekarang ialah untuk menentukan pilihan dalam penyiasatan sistem pilihan raya,"kata beliau kepada Tv Selangor.