Najib Harus Fokus Kebajikan Rakyat- PAS







SHAH ALAM 21 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diingatkan agar lebih fokus dan menumpukan kepada keperluan semasa rakyat berbanding membina imejnya melalui bangunan pencakar langit yang berjumlah berbilion ringgit.

Hal ini kerana menurut Lajnah Tanah dan Pembangunan PAS Pusat, Mazlan Aliman, asas kepada pembangunan sesebuah negara adalah kesejahteraan hidup rakyatnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru pembinaan Menara Warisan 100 tingkat yang kini sudah sampai ke peringkat mereka bentuk bangunan yang dicadangkan dan dijangka siap akhir tahun ini.

Menurut Mazlan, tindakan kerajaan yang mahu meneruskan projek tersebut walaupun dibantah keras sebelum ini kerana berlakunya pembaziran, jelas membuktikan ketidakupayaan kerajaan Najib untuk mendengar suara rakyat.

“Kalau sekadar mercu tanda ini dibina di zaman Perdana Menteri bagi gambarkan oh zaman dia ada bangunan setingi 100 tingkat kononnya jadi tatapan cucu cicit hanya kerana faktor kebanggaan itu semata-mata, saya fikir nampaknya pemimpin-pemimpin Barisan Nasional ini mereka langsung tidak mempunyai kepekaan terhadap apakah keutamaan untuk dilakukan oleh pemimpin terhadap rakyat dalam keadaan kenaikan harga barang, kos sara hidup yang semakin meningkat, pemimpin selalu bercakap tentang berjimat cermat, ikat perut dan sebagainya.

"Nampaknya rakyat sahaja yang dipaksa, diperingatkan tentang amalan budaya cermat, jimat cermat bahkan dalam kontek Islam pun, pembaziran ini merupakan saudara syaitan,"katanya kepada Tv Selangor.

Najib akhir tahun lalu berkata, pembinaan projek Menara Warisan yang dicadangkan oleh Permodalan Nasioanal Berhad (PNB) itu bakal menguntungkan negara.

Walau bagaimanapun, tidak pula dijelaskan oleh beliau keuntungan dari aspek apa.

Pembinaan menara 100 tingkat itu, yang akan mengatasi ketinggian Menara Berkembar Petronas, diumumkan dalam bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

Difahamkan kerja-kerja mereka bentuk menara tersebut sedang dijalankan manakala projek itu dijangka siap pada 2015.

Projek tersebut, yang dilaporkan membabitkan kos RM5 bilion, bagaimanapun terus mendapat bantahan umum dan pembangkang.

Rata-rata menganggapnya sebagai salah keutamaan termasuk Mazlan.

Keadaan itu ditambah pula dengan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dan tangga gaji masih di takok sama.

“Saya ingin ulangi ketegasan kalaulah perancangan kerajaan untuk membina ini diteruskan, saya harap mereka dapat membatalkan hasrat tersebut kerana ini langsung tidak memberi apa-apa kebanggaan kepada negara khususnya rakyat dalam negara kita," kata beliau.

Terdahulu, kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center juga menunjukkan dua per tiga rakyat membantah pembinaan menara pencakar langit itu.

Kajiselidik yang membabitkan 1,005 responden di Semenanjung Malaysia itu, menunjukkan 65 peratus tidak bersetuju dengan rancangan tersebut, dan hanya 25 peratus yang menyokongnya.

No comments: