Peguam Anwar Temubual Najib Dan Rosmah



KUALA LUMPUR 12 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor kini berada di Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk ditemubual oleh peguam yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka tiba pada jam 2.55 petang tadi dan kini berada di tingkat tujuh.

Anwar juga berada di situ untuk menghadiri temubual tersebut.

Peguam Karpal Singh, Sankara Nair dan Param Cumaraswamy dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan temuduga itu.
Selain Najib dan Rosmah, bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof juga hadir untuk ditemubual.

Anwar juga berada di situ untuk menghadiri sesi temubual tersebut yang dijalankan Peguam Karpal Singh, Sankara Nair dan Param Cumaraswamy.

Pada masa ini sekumpulan kira-kira 20 wartawan termasuk jurugambar sedang menunggu di luar perkarangan mahkamah.

Najib dan Rosmah termasuk dalam senarai saksi yang mahu ditemubual peguam Anwar sebelum perbicaraan bersambung Isnin depan.

Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan semua saksi yang ditawarkan pendakwa raya kepada peguam Anwar, perlu hadir untuk ditemubual.

Peguam sebelum ini mahu Najib hadir ditemubual sebagai saksi ekoran pertemuannya dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dua hari sebelum Saiful membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar pada 28 Jun 2008.

Selain itu Saiful turut bertemu dengan beberapa tokoh lain termasuk Datuk Mumtaz Jaafar, pembantu khas kepada Rosmah.

Keterangan Najib dan Rosmah turut diambil pegawai penyiasat polis DSP Jude Pereira, sekaligus mewajarkan kedua-duanya menjadi saksi dalam kes tersebut.