SHAH ALAM 12 OGOS : Hasrat Kerajaan Pusat mahu melaksanakan Bajet 2012 dengan belanjawan inklusif yang berpaksikan rakyat dalam menuju negara maju serta ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020 disifatkan sebagai hanya suntikan 'feel good factor', kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.
Malah katanya, perlaksanaan itu hanyalah bertujuan untuk mengaburi mata serta menawan kembali hati rakyat menjelang pilihan raya umum ke 13 akan datang.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha tersebut juga jelas bermotifkan kepentingan politik semata dalam mengekalkan kuasa tampuk pemerintahan sedia ada, walaupun jelas ia dilihat telah gagal menangani masalah pokok yang menekan kehidupan rakyat terbanyak.
"Kita cukup memahami apa yang menjadi perhitungan besar buat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, bagi mereka bulan-bulan mendatang ini sehingga hari pembentangan bajet adalah bulan-bulan memenangi keyakinan rakyat dengan menjalankan apa sahaja usaha asalkan hati rakyat berjaya ditawan menjelang musim pilihanraya yang dijangka tidak lama lagi selepas pembentangan bajet," katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian bagi mengulas pendirian kerajaan pusat dalam memberi gambaran indah kepada rakyat berhubung Bajet 2012 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober sebagai belanjawan inklusif yang berpaksikan rakyat dalam menuju negara maju serta ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.
Mengulas lanjut perkara itu, Dr Dzukefly berkata kerajaan pentadbiran Najib sewajarnya mengambil pendekatan dengan membantu rakyat dengan merungkai amalan monopoli dan oligopoli dalam pemerintahanya yang selama ini didakwa telah menindas dan menekan kehidupan rakyat marhean.
"Inilah caranya (rungkai kaedah monopoli), kalau kerajaan benar-benar mahu membantu dan menolong rakyat, bukannya setelah puas cekik rakyat dengan monopoli selepas itu berhasrat kononnya mahu berbaik dengan rakyat dengan memberikan habuan dalam bentuk kupon, subsidi dan sebangainya," ujarnya.
"Sebenarnya kerajaan mahu kekal memberikan keuntungan kepada kroninya dan hanya memberikan sedikit bantuan kepada rakyat dalam sistem yang masih kekal (monopoli) melindungi kroni-kroninya," katanya.
Justeru itu katanya, kerajaan tidak mampu lari dari amalan monopoli dan oligopoli dalam pentadbiranya ekoran kebergantngan terlalu kuat mereka kepada kroni-kroni yang selama ini menerima bantuan dan projek bagi membantu kerajaan terus kekal berkuasa khususnya dari sokongan dana.
"Inilah cara Umno-BN mendapatkan 'feedback' kembali dari kroni-kroni mereka yang selama ini membiaya mereka untuk kesetiap kali pilihanraya," ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Najib Razak dilaporkan sebagai berkata kerajaan akan merangka strategi terbaik untuk mengurangkan beban kos hidup rakyat menerusi bajet itu serta dalam masa sama menguruskan pembangunan ekonomi negara.
Menurutnya, ini termasuk meneliti kaedah untuk meningkatkan rantaian bekalan pertanian bagi memastikan bekalan makanan yang hilang sepanjang proses penghasilan dan pembekalan dapat dikurangkan.
Selain itu, kepimpinan Najib turut menjanjikan akan meneruskan sistem kawalan harga barang dan menguruskan subsidi dengan bijak yang mana merupakan antara subsidi tertinggi diberikan di sesebuah negara.
"Di samping itu, kerajaan akan memperluaskan lagi inisiatif berfokuskan rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan yang terbaru, Menu Rakyat 1Malaysia iaitu program yang menggalakkan syarikat pengeluar makanan memperkenalkan pakej menu sarapan pagi serendah RM2 dan makanan tengah hari RM4 di restoran-restoran yang mengambil bahagian"
Justeru, Dr Dzulkefly menegaskan pihaknya tidak akan sekali-kali akan membenarkan kroni Umno-BN terus kekal berkuasa dalam memonopoli hasil kekayaan negara.
"Kita sama sekali tidak akan mengizinkan monopoli seperti ini, semua ini (monopoli-kroni) ibarat 'kucing-kucing gemuk, yang gemuk atas penderitaan rakyat," tegasnya.
"Dalam Pakatan Rakyat, kita tidak nafikan ada baik buruknya pemberian subsidi, namun ianya harus dikaji dengan melihat secara keseluruhanya, subsidi akan jadi tidak baik sekirannya disalurkan kepada orang yang tidak layak seperti IPP, pemilik konsesi air dan lain-lain,"tambahnya.