Tahan Bawah EO Satu Ketidakadilan Yang Dahsyat, Kata Kit Siang

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang melawat enam tahanan Ordinan Darurat (EO) Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Bukit Aman hari ini mengutuk tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan tangkapan itu.

Ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyatakan tindakan itu sebagai ketidakadilan yang dahsyat kerana tiada justifikasi dalam penangkapan tersebut.

Beliau mengganggap penahanan ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan lima yang lain itu sebagai cubaan untuk mecemarkan gerakan himpunan Bersih 2.0.

"Tuduhan sebagai penggerak Bersih ialah satu ketidakadilan. 709 telah tunjukkan betapa bukan puluhan ribu penyokong Bersih yang lakukan keganasan dan huru-hara tetapi pihak berkuasa polis," kata beliau kepada para wartawan di hadapan Bukit Aman.

25 Jun lalu, 31 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dan direman di bawah Seksyen 122 kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

2 Julai lalu, 6 daripadanya termasuk Dr. Jeyakumar dilepaskan tanpa tuduhan tetapi ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat sejurus menjejakkan kaki ke luar balai polis dan ditahan sehingga kini.

Kit Siang hari ini hadir bersama ahli parlimen Subang Sivarasa Rasiah dan ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub memberitahu Dr. Jeyakumar dan yang lain dalam keadaan baik.

Sivarasa bagaimanapun menyatakan tahanan yang dilakukan itu jelas bermotif tidak baik.

Menurut Sivarasa lagi, fitnah dan dakwaan bahawa Dr. Jeyakumar terlibat dalam aktiviti subversif seperti yang diuar-uarkan sebelum ini nyata tidak dipercayai oleh masyarakat, khayalak politik, malah polis sendiri.

"Tuduhan terhadap mereka tiada asas. Semua tuduhan tersebut berniat jahat untuk mengutuk Bersih. Malah untuk seksyen 122 melancarkan perang, satu satunya rujukan ialah kes Al-Maunah.

"Ia tidak berhasil, tiada siapa yang percaya malah kerajaan sendiri tak percaya sebab itu tak ada dakwaan," tegas Sivarasa.

Salahuddin pula menyatakan atas sebab-sebab itu nyata sekali Dr. Jeyakumar dan mereka yang lain seharusnya dibebaskan untuk memulihkan imej negara.

"Yang ditekankan ialah isu Bersih dan menganjurkan Bersih. Adakah itu sebab beliau ditahan dibawah Ordinan Darurat? Jadi untuk itu, saya bagi pihak Pakatan Rakyat mendesak beliau dan yang lain dibebaskan kerana ia tidak menepati lunas kemanusiaan,"kata beliau lagi.

No comments: