Penafian Najib Di Media Asing Tambah Kelukaan Rakyat



SHAH ALAM 15 JULAI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi membelakangi realiti Bersih 2.0 apabila mendakwa polis hanya menggunakan kekerasan ringan ketika menyuraikan Himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Kata-kata itu keluar dari mulut Najib ketika kali pertama beliau ditemu bual media asing berhubung Himpunan Bersih Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kenyataan Najib itu nyata sekali mengundang reaksi kurang senang penganalisis politik termasuk Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah yang menyifatkan kenyataan Perdana Menteri itu sebagai menambah luka di hati rakyat Malaysia.

Malah menurut beliau, Najib sekaligus membuka pekung di dada bahawasanya polis sememangnya menggunakan kekerasan untuk menyuraikan himpunan aman itu walaupun dikatakan "agak ringan".

"Apa yang dijelaskan di Britain adalah satu gambaran yag sebaliknya iaitu gambaran yang menafikan bahawa telah berlaku kelukaan pada rakyat sedangkan ia adalah satu proses pandangan rakyat terhadap pemimpin,"kata Dr. Abu Hassan kepada Tv Selangor.

Najib ketika ditemu bual CNN semalam berkata, pihak polis hanya menggunakan kekerasan minimum dalam usaha menyuraikan himpunan Bersih.

Namun lensa kamera dan seluruh media yang membuat liputan pada himpunan Bersih itu menyaksikan sebaliknya.

Gambar-gambar dan rakaman video di ibu negara pada 9 Julai lalu memperlihatkan tindakan kejam polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan tembakan gas pemedih mata dan semburan air kimia kepada para demonstran yang berjalan secara aman.

Malah ada di antaranya, FRU menembak gas pemedih mata secara terus kepada orang ramai yang sepatutnya dilepaskan 45 darjah ke arah udara.

Selain seorang meninggal dunia, puluhan mengalami kecederaan dan himpunan itu menyaksikan 1,667 peserta himpunan itu ditahan polis selama beberapa jam.

Namun Najib berkeras bahawa polis menjalankan tugas mereka dengan baik di sebalik kritikan keras pelbagai pihak.

“Tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum,” kata Najib kepada CNN.

Ia temu bual pertama Najib dengan media asing sejak perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mempertahankan tindakan polis.

Melihat kepada senario itu, Dr Abu Hassan yang juga Pengerusi Zentrum Future Studies Malaysia (Zentrum) menyifatkan tindakan pemerintah menggunakan kekerasan sebagai formula utama mendepani suara rakyat jelas satu bentuk penyelewengan demokrasi.

"Perhimpunan Bersih 2.0 itu sendiri harus dilayan dengan baik kerana ia adalah satu keperluan dan kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan, jadi kita tidak nampak kenapa perhimpunan ini dilihat sebagai satu ancaman kerana ia langsung tidak memberi gambaran sedemikian.

"Sebab itulah kita cuba elakkan kekejaman, kurangkan krisis, dan cegah peperangan menerusi diplomasi. Bagaimana kita ingin semai budaya diplomasi? Iaitu budaya berbincang, budaya saling berbagi-bagi dan bukanya membeza-beza jika pemerintah menggunakan jalan mudah menyelesaikan masalah dengan kekerasan,"katanya.

Malah kenyataan Najib yang acapkali menggambarkan polis melayani peserta himpunan dengan baik adalah jelas satu pembohongan dan keterangan sedemikian hanya
satu hipokrasi yang mengaibkan.

"Tindakan polis adalah satu tindakan yang melampaui daripada ramalan yang dijangka, sedangkan rakyat hanya ingin berkumpul, bersuara dan berdendang tentang keinginan dan perasaan mereka tetapi sebaliknya berlaku,"kata beliau lagi.