Hanya Negara Komunis Tak Benar Demontrasi-Hadi




KUALA LUMPUR 18 JULAI: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan fahaman komunis apabila tidak membenarkan rakyat meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan.

Menurut Hadi, sebuah negara bercorak demokrasi moden membenarkan rakyatnya meluahkan perasaan mereka terhadap pemerintah, bukan sahaja melalui wakil rakyat mereka di parlimen, malah melalui media dan demontrasi aman.

"Kerajaan bertanggungjawab melalui polis untuk menjaga keamanan dan keselamatan jalan raya dan peserta demonstrasi. Ini berlaku di seluruh dunia.

"Yang tak benar demonstrasi ini hanya negara komunis sahaja, kalau demonstrasi dia tangkap" kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa PAS di sebuah hotel di Ampang, semalam.

Hadi berkata demikian membidas tindakan kerajaan yang melabelkan himpunan Bersih 9 Julai lalu sebagai sebuah himpunan haram.

Menurut Hadi, apa yang lebih teruk berlaku sewaktu himpunan Bersih itu ialah pihak keselamatan menggunakan kekerasan sehingga ramai yang mengalami kecederaan termasuk seorang meninggal dunia.

Sementara itu, beliau yang juga ahli parlimen Marang menambah, himpunan Bersih yang disertai lebih 50,000 penyertaan membuktikan kesedaran rakyat tentang kepincangan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

"Alhamdulillah, kita dapat respon positif dari masyarakat yang bermaklumat.

"Susulan kita diseluruh negara, melalui ceramah-ceramah kita mendapat sambutan yang sangat hebat," katanya.