Kit Siang: DAP tidak timbang dengan serius idea keluar Pakatan

Kit Siang: DAP tidak timbang dengan serius idea keluar Pakatan

July 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini mengetepikan tanggapan bahawa partinya akan meninggalkan Pakatan Rakyat ekoran kemunculan semula konflik dengan PAS sambil menegaskan, partinya tidak mempertimbangkan idea mengenainya dengan serius.

Pemimpin veteran itu menolak andaian bahawa PAS telah membelakangkan DAP apabila ia memutuskan untuk menguatkuasakan sepenuhnya enakmen yang melarang operasi pusat hiburan ketika bulan Ramadan.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan negeri telah menunjukkan sikap tolak ansur dan kesediaan untuk menyelesaikan konflik menerusi perundingan.

“Isu ini menunjukkan kesediaan kepimpinan Pakatan Rakyat untuk berbincang dan menyelesaikan masalah-masalah yang wujud, berbeza daripada Umno,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Salah faham sebenarnya mengenai enakmen 1997 yang diluluskan oleh Barisan Nasional (BN). Enakmen itu memberi kesan ke atas hak dan sensitiviti bukan Islam, tetapi kini ia sudah dibetulkan,” kata Lim.

Lim mengakui bahawa isu itu telah menyinggung ramai ahli PAS dan DAP, tetapi mengakui bahawa masalah tersebut telah diselesaikan dengan baik menerusi penyelesaian menang-menang oleh kedua-dua parti.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua mencadangkan partinya keluar Pakatan Rakyat ekoran isu penguatkuasaan penuh Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 melarang operasi pusat-pusat hiburan di Kedah sepanjang bulan Ramadan.

Pua melahirkan rasa tidak puas hati menerusi Twitter dan beliau berpandangan DAP tidak wajar berada dalam Pakatan Rakyat jika keprihatinan dan kebimbangan pihaknya tidak diambil kira oleh kerajaan negeri dalam isu semasa ini.

“(Kami) tidak mahu jadi macam MCA atau Gerakan dalam BN,” katanya.

Semalam, kepimpinan kebangsaan PAS bergerak untuk mengurangkan tekanan berhubung isu terbaru ini dan mengumumkan larangan itu akan dimansuhkan dan digantikan dengan garis panduan bagi menghalang Muslim daripada mengunjungi pusat-pusat hiburan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pusat hiburan di Kedah boleh beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan, namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Jelas Presiden PAS, kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

Ini kerana kata beliau, kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya melaksanakan undang-undang yang digubal oleh BN sebelum ini.

Bagaimanapun menurut Hadi, undang-undang itu telah “diperbetulkan” agar hak orang bukan Islam tidak dinafikan dalam pentadbiran negerai Pakatan Rakyat.

“Media BN sengaja gunakan isu ini, jadi PAS ambil jalan menyelesaian iaitu hak orang bukan Islam walaupun diharamkan dalam Islam tapi mereka ada hak dan yang kedua hak orang Islam tidak boleh melakukan maksiat.

“Jadi orang bukan Islam sahaja boleh masuk (pusat hiburan), jangan bagi orang Islam masuk,” katanya.

“Lihat dari sudut positif... keputusan ini, perkembangan ini dialu-alukan. Ia menunjukkan, khususnya kesediaan kepimpinan PAS dan juga kerajaan negeri Kedah untuk membetulkan salah faham,” kata Lim.

Mengenai kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa perkembangan semasa sebagai satu sandiwara antara DAP dan PAS, Lim menolak dakwaan bekas menteri kesihatan itu.

“Lagi banyak beliau bercakap, lagi rendah kredibiliti beliau,” kata Lim.

No comments: