05/03/2011 Share
KUALA LUMPUR 5 MAC : Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi memberi amaran kepada Umno supaya menghapuskan sikap berat sebelah mereka sewaktu berkempen atau berhadapan sekali lagi dengan kebangkitan rakyat yang jelak dengan sikap Umno yang sering menindas ruang bersuara pihak yang tidak menyokong mereka.
Nasrudin menyatakan keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengendalian demokrasi negara ini akan menjadi rakyat tenang dan akur menerima keputusan pilihanraya, samaada menang atau kalah.
Justeru beliau menyatakan Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat akan menyertai pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menuntut hak demokrasi seandainya hal ini tidak diendahkan kerajaan Umno-BN.
"Kita bagi tempoh sampai 1 Mei akan datang. Sekiranya 1 Mei akan datang. Seandainya mereka gagal memastikan sistem pengurusan dan pengendalian negara kita secara adil dan saksama. Kami dari NGO dan PR sekali lagi akan bangkit mengadakan himpunan Bersih ke 2 pada Jun akan datang.
Permintaan Bersih 2.0 yang dikepalai bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreevenasan yang menuntut penggunaan dakwat kekal kepada pengundi, pembersihan daftar Pemilih, pemansuhan undi pos dan kebebasan media dalam membuat laporan berita.
Himpunan Bersih sebelum ini pada 2007 berjaya mengumpulkan kira-kira 100 ribu rakyat dan ditangani dengan ganas oleh kerajaan Umno-BN dan dipercayai menyumbang kepada kegagalan BN meraih majoriti 2 per 3 pada Pilihan Raya Umum 2008.
Nasrudin turut menyelar sikap Umno yang sering mendabik dada mengatakan mereka satu-satunya pembela Islam dan Melayu di negara ini dan menjadi pilihan di hati masyarakat tetapi pada masa yang sama menyekat demokrasi bersuara Pakatan Rakyat.
Justeru Nasrudin mahu persaingan sama rata berlaku dengan rakyat menjadi pemilihnya supaya hal pilihan hati rakyat itu dapat dijustifikasi.
"Kalau betul nak bertanding siapa kuat, biarlah bertanding di padang yang sama rata. Ini sudahlah tak sama rata. Lepas tu ditambat tangan dan kaki kita. Lepas itu diajak bertinju. Bila menang dia kata dia kuat. Dia nak tipu siapa?," katanya.
Nasrudin menganggap taktik UMNO menggunakan penceramah 'undangan' seperti Ummi Hafilda dan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat sebagai tanda mereka masih takut dengan Pakatan Rakyat walaupun menguasai media.
"Kita padanlah buat ceramah sebab kita tak dibenar menggunakan radio. Kita tak dibernar menggunakan televisyen. Kita terpaksa bertemu dengan masyarakat bagi menyampaikan dasar perjuangan kita. Ini buktinya mereka sangat lemah dan takut nak bertemu dengan pakatan rakyat," katanya.