Anwar: Pakatan anjur ‘jelajah negara’ jika digantung Parlimen

Anwar: Pakatan anjur ‘jelajah negara’ jika digantung Parlimen

June 09, 2010
Anwar sedia jelajah Malaysia sekira digantung oleh Jawatankuasa Hak and Kebebasan. - Picture by Choo Choy May
SELAYANG, 9 Jun — Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini disiasat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan memobilisasikan penyokongnya di seluruh negara jika beliau digantung dari menghadiri sidang Parlimen berhubung isu APCO.

Ketua pembangkang di Parlimen itu berhdapan dengan tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, yang boleh mengesyorkan hukuman gantung ke atasnya, berhubung dakwaan konsep 1Malaysia, yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, diilhamkan oleh APCO Worldwide, perunding Amerika Syarikat yang sama di belakang kempen One Israel.

“Mesyuarat (jawatankuasa) bermula hari ini (semalam). Kemungkinan saya digantung, saya tidak tahun untuk berapa lama,” kata Anwar kepada hadirin di Stadium Selayang di sini malam tadi.

“Jika mereka menggantung saya selama enam bulan, untuk tempoh enam bulan kami akan mengadakan jelajah (penerangan) di seluruh Malaysia,” kata beliau di hadapan 1,000 penyokongnya yang menghadiri perhimpunan aman malam tadi.

Semalam, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menangguhkan keterangan bela diri Anwar.

Penangguhan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan, yang sepatutnya mendengar keterangan bela diri itu menolak permohonan Anwar supaya peguam Ketua Umum PR itu dapat turut serta dalam prosiding itu sebagai pemerhati.

Mesyuarat jawatankuasa berkenaan juga ditangguhkan bagi membuat keputusan mengenai peranan yang akan dimainkan peguam Anwar, Datuk Ambiga Sreenevasan yang juga bekas presiden Majlis Peguam Malaysia dalam prosiding berkenaan.

Pengerusi jawatankuasa itu Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, mesyuarat jawatankuasa itu akan disambung hari ini dengan memanggil dua saksi iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan wakil APCO.

Anwar akan dipanggil semula pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, kata Pandikar.

Pada 22 April lepas, Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara untuk merujuk Anwar kepada jawatankuasa tersebut.

APCO yang menafikan dakwaan Anwar berkata kerajaan Malaysia menggunakan khidmat mereka selepas konsep 1 Malaysia diumumkan oleh Najib dan dakwaan penglibatan firma itu dalam kempen One Israel adalah palsu.

Enam Ahli Parlimen yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Datuk Seri Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Prosiding jawatankuasa itu bermula semalam, sehari selepas Parlimen meluluskan usul yang dibawa Najib, mengecam serangan Israel ke atas konvoi kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang turut dinaiki 12 sukarelawan.

Sembilan orang dilaporkan mati dalam kejadian itu.

Anwar berkata, tindakan ke atas beliau itu menunjukkan kerajaan tidak serius dalam memperjuangkan isu Palestin.

“Apabila saya menyerang APCO, saya dipanggil sebagai musuh Israel. Ya, saya menentang Israel kerana kekejaman mereka menentang Palestin,” kata beliau kepada hadirin yang kebanyakannya orang Melayu.

Perhimpunan malam tadi, yang sepatutnya diadakan di Gombak tetapi dipindahkan ke Selayang kerana tidak dibenarkan atas alasan tiada permit, dilihat sebagai usaha PR untuk menguasai isu rakyat Palestin daripada tangan BN.

Majlis malam tadi turut dihadiri dua sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan diserang Israel, Jamaludin Elias dan Mustafa Mansur.

No comments: