100 pekerja KLIA hilang pekerjaan
Tuesday, 22 June 2010 12:06 PMLebih 100 pekerja agensi pelancongan bumiputera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bakal dibuang kerja berikutan tindakan Persatuan Agen-Agen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang didakwa bersetuju mengambil alih tugas semua agensi pelancongan sedia ada di KLIA.
Wakil agensi pelancongan terbabit, Mohd. Anuar Hussin berkata, keputusan MATTA itu menyebabkan Malaysia Airport Berhad (MAB) mengeluarkan notis penamatan perkhidmatan kepada semua agensi pelancongan yang ada di KLIA mulai 1 Julai ini.
''Kami selaku ahli MATTA kecewa dengan tindakan persatuan itu kerana sepatutnya mereka membela kami dan bukannya bersetuju untuk mengambil alih tugas yang kami jalankan sejak KLIA beroperasi.
''MATTA seharusnya ingat bahawa penamatan perkhidmatan kami oleh MAB itu akan memaksa kami menamatkan khidmat pekerja yang berjumlah lebih 100 orang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Baru-baru ini MAB mengeluarkan notis menamatkan sewaan kepada semua agensi pelancongan di KLIA yang bermula 1 Julai ini berikutan persetujuan MATTA untuk mengambil alih tugas-tugas agensi pelancongan itu di lapangan terbang berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Anuar sangsi dengan keupayaan MATTA untuk menyediakan perkhidmatan pelancongan yang berkualiti kepada pelancong asing yang tiba di KLIA.
''Ini kerana saya difahamkan MATTA hanya akan membuka kaunter penerangan dan bukannya menyediakan pakej pelancongan sebagaimana yang dijalankan oleh kami.
''Sedangkan kami memiliki pekerja yang mahir dan berpengalaman dalam menguruskan pelancong asing yang tiba di KLIA," katanya.