DAP dominasi pendaftaran pengundi muda
KUALA LUMPUR, Dis 22 — Walaupun lebih dua dozen parti politik berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DAP dilihat dominant dalam menggerakkan pendaftaran pengundi-pengundi baru khususnya generasi muda sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008.
Parti yang popular di pantai barat Semenanjung ini mengambil kesempatan perubahan landskap politik untuk menawan hati pengundi golongan muda.
Perkara ini diakui oleh Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada The Malaysian Insider.
Kira-kira empat juta rakyat negara ini, majoritinya bawah umur 30 tahun, masih belum mendaftar sebagai pengundi.
"Saya rasa DAP parti yang mengambil kesempatan terhadap peluang yang diberikan ini (pelantikan penolong pendaftar pemilih) dan 'mood' rakyat sekarang terutama generasi muda di kalangan kaum Cina," kata beliau.
"Amat ketara daripada peningkatan (jumlah pengundi baru) ialah usaha DAP dalam mendaftar pengundi-pengundi baru, yang mana berbanding Gerakan, MCA yang sepatutnya mengambil kesempatan ini, DAP mengeksploitasi peluang yang diberikan ini," kata Wan Ahmad lagi.
DAP berada di depan berbanding parti komponen Barisan Nasional yang lain MCA, MIC dan Gerakan yang masih berhadapan dengan masalah dalaman masing-masing.
"MCA bermasalah, jadi MCA tidak ada masa untuk membuat kerja ini (pendaftaran pengundi baru)," kata beliau sambil mengakui pendaftaran yang digerakkan oleh parti-parti politik sendiri boleh menyumbang sokongan kepada mereka semasa pilihan raya kelak.
"Lazimnya mereka akan mendaftar pengundi baru dengan menyatakan pendirian politik masing-masing.
"Jika mereka berjaya mendaftar pengundi muda ini bermakna parti-parti ini juga menarik penyokong untuk mereka semasa pilihan raya nanti... ini kelebihannya," kata Wan Ahmad lagi.
DAP memfokus negeri Melaka, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
Berada di belakang DAP ialah Umno yang mendaftar pemilih baru membabitkan semua negeri di seluruh negara.
PAS pula berada di tempat ketiga dengan fokusnya di negeri-negeri pantai timur dan utara Semenanjung iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Parti Keadilan Rakyat kurang, dia sederhana sahaja," katanya lagi.
Walaupun tidak menyatakan perangkaan khusus mengenai penonjolan DAP ini, Wan Ahmad memberitahu: "Daripada 10 pengundi baru yang didaftarkan di Melaka, sebagai contoh, lima pemilih merupakan mereka yang didaftarkan oleh DAP."
Sejak tahun 2006 parti-parti politik dibolehkan melantik penolong pendaftar yang diberi kuasa mendaftar pengundi baru dengan setiap pendaftaran diberikan komisen.
Penolong pendaftar ini menyumbang kepada lebih 30 peratus pengundi baru yang didaftarkan setiap tahun.
Baru-baru ini SPR memperakui Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku tahun ketiga 2009 iaitu dari Julai hingga September, menjadikan jumlah pemilih pendaftar terkini seramai 11,085,863.
DPT suku tahun ketiga mengandungi 81,625 pemilih yang terdiri daripada 67,502 permohonan pemilih baru dan 14,123 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.