Bersih akan mohon penggunaan stadium untuk perhimpunan kedua


Anis Nazri
Sat | Jan 12, 08 | 5:04:38 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Hrkh) - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) merancang mengadakan perhimpunan besar-besaran kali kedua bagi menuntut perjalanan pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.

Bersih mengenal pasti tiga tempat iaitu Dataran Merdeka, Stadium Merdeka atau Stadium Nasional Bukit Jalil - sebagai tempat perhimpunan, pada 23 Februari depan.

Perhimpunan yang bertemakan Pesta Rakyat 'Jom Bersih' itu sebagai menyahut saranan pemimpin kerajaan supaya mengadakan perhimpunan mengikut peraturan dan saluran.

Malaysiakini melaporkan, Jurucakap Bersih, Mohd Anuar Tahir berkata, sebelum ini Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalannya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa Bersih mengadakan perhimpunan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

"Bersih menyahut saranan tersebut. Kita akan membuat permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan kelulusan menggunakan salah satu tempat tersebut.

"Dan kita menjangka perhimpunan kali ini berjaya mengumpul lebih ramai dari perhimpunan pertama 10 November lalu kerana ia perhimpunan rakyat.

"Mengikut rekod Bersih, kira-kira 130,000 orang dari seluruh negara akan berkumpul di Kuala Lumpur sebagai menyokong perhimpunan pada tarikh tersebut," katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH), semalam.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad, yang ditemui Harakahdaily berkata Bersih akan membuat permohonan permit bagi tujuan tersebut secepat mungkin.

Sebelum ini, Bersih telah menganjurkan perhimpunan rakyat pada 10 Nov lalu, yang dirancang bermula di Dataran Merdeka ke Istana Negara sebagai menuntut perubahan dalam pilihan raya di negara dengan mengemukakan empat tuntutan.

Bersih menuntut SPR membersihkan senarai daftar pemilih daripada 'pengundi hantu', penggunaan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundian berulang, penghapusan undi pos dan capaian media yang lebih adil kepada semua parti politik.

Bersih dianggotai 70 badan bukan kerajaan, parti politik dan kumpulan kesatuan sekerja, yang ditubuhkan pada Julai 2005, bagi menekan kerajaan supaya membuat perubahan dalam pilihan raya umum di negara ini. - mns