Seorang ahli perniagaan hari ini mengakui secara terbuka bahawa beliau adalah lelaki yang dilihat dalam bahagian kedua klip video Lingam yang didedahkan oleh PKR September lalu.
Dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini malam ini, Loh Mui Fah, 58, berkata mengambil keputusan untuk mendedahkan identitinya kerana mahu "pihak berkuasa berhenti daripada mengganggu dan menceroboh privasi dirinya dan keluarganya".
Di samping itu, katanya, beliau juga bimbangkan keselamatan dirinya dan anggota keluarganya kerana mereka sering diekori dan pernah menerima panggilan berunsur ugutan meminta beliau supaya 'berjaga-jaga'.
Loh berkata, anak lelakinya yang merakamkan klip video sepanjang 14 minit perbualan telefon peguam Datuk VK Lingam itu, tetapi menafikan beliau yang menyerahkan klip tersebut kepada PKR. Bagaimanapun, katanya, beliau percaya anaknya merakam video tersebut tanpa sebarang niat yang tidak baik atau memahami apa yang sedang diperkatakan.
Menurutnya lagi, klip video itu bukan dirakamkan pada tahun 2002 yang dilaporkan tetapi pada 20 Disember 2001.
Klip video itu menunjukkan Lingam sedang berbual melalui telefon, didakwa dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Fairuz Sheikh Abdul Halim mengenai pelantikan hakim-hakim.
Bahagian pertama minit klip video tersebut telah didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September lalu. Manakala bakinya klip video enam di mana Loh kelihatan di dalamnya, diumumkan oleh Anwar Disember lalu selepas kerajaan mengumum penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasatnya.
"Bukan saya yang memberi klip video itu ataupun saya merestui ianya didedahkan...berdasarkan kenyataan saya sebelum ini, saya tidak tahu pun klip video itu ada...," katanya.
Ditanya sama ada beliau ada membuat laporan polis mengenai ugutan tersebut, Loh berkata "sekurang-kurangnya satu aduan".
Loh berkata, selepas klip video itu didedahkan, beliau sering diekori dan diintip oleh orang yang tidak dikenali yang kemudiannya disahkan sebagai pengawai Badan Pencegah Rasuah (BPR).
'Kami diekori'
"Mereka datang menaiki kereta, memerhati kami, letak kereta berhimpiran, enjin hidup...saya tingggal di apartmen, pihak keselamatan mengesahkan mereka datang dengan menaiki kereta...kemudian BPR mengesahkan yang ejen mereka sedang memerhati kami, tetapi mereka tidak menjelaskannya.
"Saya tanya mengapa tidak datang jumpa saya, mengapa membazirkan wang kerajaan macam tu...," katanya sambil menambah, mereka pernah datang serentak ke kediaman dan pejabatnya mencari beliau, tetapi beliau tiada.
"Di rumah saya, mereka mahu mengambil anak bungsu saya...ini gangguan kepada anak saya...dia tidak ada apa-apa berkaitan dengan hal ini. Nak ambil dia untuk apa?" tambahnya.
"BPR mahu soal anak lelaki saya, walaupun dia kata dia tidak tahu apa-apa mengenainya. Mereka kata tak apa kita cuma nak tanya soalan," tambah Loh.
Dalam satu lagi insiden, Loh berkata, beliau didatangi pegawai BPR di Melaka ketika beliau dalam perjalanan ke Singapura.
Katanya, kerana mengesyaki diekori, beliau berhenti di sebuah kedai dan kemudiannya didatangi oleh dua pegawai BPR yang meminta beliau mengikut mereka untuk memberi kenyataan.
Bagaimanapun, kata Loh, beliau memberitahu mereka supaya membuat temujanji dan tidak boleh datang begitu sahaja kerana beliau ada urusan lain.
Berikutan itu, katanya, mereka meminta beliau bercakap dengan 'bos' mereka untuk menjelaskan perkara tersebut.
'Saya bukan penjenayah'
"Dia mungkin dari ibupejabat. Mereka kata bos mereka, saya kata saya boleh bercakap dengan sesiapa sahaja (kerana) saya bukan penjenayah. Mereka kata hendak bercakap dengan saya, dan saya memberitahu mereka bahawa tempat yang paling baik ialah suruhanjaya diraja (yang ditubuhkan untuk menyiasat klip video tersebut).
'Malah, saya meminta penjelasan mengenai perbezaan antara BPR dan suruhanjaya diraja itu, apakah wujud pertindihan tugas...mereka kata suruhanjaya itu tiada kemudahan untuk mengarahkan siasatan...sepatutnya beri gambaran yang sebenarnya...sepertimana dengan polis, mesti ada waran...mesti ada dokumen yang sempurna...saya rasa mesti dibuat dengan teratur...," katanya.
Mengenai pertemuan pada malam klip video itu dirakamkan, Loh berkata Lingam merupakan peguam yang mengendalikan urusan perundangannya.
Bagaimanapun, katanya, beliau merasakan Lingam tidak memberi masa sewajarnya untuk mengendalikan urusan berkenaan.
Berikutan itu, katanya, Lingam telah mempelawa mereka datang ke rumahnya untuk makan malam dan dia pergi ke situ bersama anak lelakinya, Loh Jwo Burne, 33, sambil berbincang mengenai urusan berkenaan.
"Kita pergi ke rumahnya, kita ditawarkan minuman, bukan minuman alkohol, dan kita makam malam. Kita dijemput untuk makan malam, beberapa orang lagi sepatutnya bersama kami, tetapi hanya beliau sahaja ada," katanya sambil menambah, perbincangan mereka terganggu apabila adik perempuan Lingam datang dan berbincang mengenai isu-isu perundangan.
Menurut Loh, adik perempuan Lingam itu kemudiannya beredar dari situ dan meneruskan perbincangan.
"...Ketika itu ada panggilan...saya kata ada panggilan...kerana kalau (tengah) berbicangan dengan saya, macam mana beliau (boleh) membuat panggilan, kecuali ada pangilan masuk. Beliau tidak boleh elak...satu dua panggilan beliau terpaksa panggil balik...dia guna telefon lain-lain...," katanya.
Loh berkata, pada mulanya tidak menyedari rakaman sedang dibuat dan beliau hanya tahu mengenainya selepas ia didedahkan.
Surat pada PM
Ditanya mengenai reaksinya apabila mengetahui mengendai pendudukan klip video tersebut, Loh berkata, secara peribadi beliau senang kerana "saya terbabit dalam isu kontroversi, nanti ada spekulasi, tuduhan mengapa anda terbabit".
"Saya sumpah saya tidak pernah tengok dan tidak sedarpun rakaman itu dibuat..tapi berapa ramai yang akan percaya...anda terbabit dalam isu kontroversi. Saya diletakkan dalam situasi yang amat sukar," katanya.
Loh berkata, beliau juga menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (lihat di bawah sekali) berhubung isu tersebut serta menghantar emel kepada panel siasatan klip video Lingam tersebut berhubung jaminan keselamatan untuk saksi, tetapi tidak mendapat jawapan.
Bagaimanapun, katanya, berdasar kenyataan yang dibuat oleh Majlis Peguam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, akta melindungi saksi baru hendak dibincang di kabinet dan itu bermakna tidak ada akta perlindungan seumpama itu.
Mengenai tindak tanduk anggota BPR mengekori dan mahu menyoalsiasat anak bungsunya, Loh berkata: "Saya tidak mahu guna perkataan gangguan, tapi mereka boleh datang terus pada saya...saya tidak ada rekod jenayah, saya seorang ahl perniagaan yang bersih...bagi saya, saya tidak pernah bimbang pihak berkuasa datang jumpa saya, tidak ada...
"Malah, saya pernah diganggu sebelumnya...saya tidak gembira dengan banyak agensi kerajaan (mengenai) cara mereka layan saya, gangguan polis...mereka mahu tangkap saya... (kata) awak suspek... bukan dalam isu ini...saya pernah diganggu sebelum ini...," katanya.
Bagaimanapun, katanya, apa yang dilakukan oleh anggota BPR terhadap anak lelaki bungsunya itu adalah satu gangguan kerana dia (anaknya itu) tidak terbabit langsung. Ditanya bagaimana BPR boleh mengenalpastinya, Loh berkata: "Saya rasa mungkin Lingam teringat siapa ada di rumahnya pada masa itu...dia (juga) pernah beri kenyataan kepada BPR atau pihak penyiasat...mungkin ditanya siapa yang lainnya, dan mungkin telah mengenal pasti kita, ini orangnya. Sebelum ini, saya rasa ada orang perhatikan kami," katanya.
'Nanti dituduh pembangkang'
Ditanya sama ada gangguan itu bertujuan untuk menutup mulutnya, beliau berkata: "Saya tidak boleh buat spekulasi, nanti mereka tuduh saya pembangkang...kalau kata sesuatu yang mereka tidak suka, mereka akan kata awak bersikap macam pembangkang.
"Tapi saya rasa mereka mahu kenyataan dari saya 'unprepared'. Saya bukan seorang peguam, saya tidak tahu undang-undang apa yang beri saya perlindugann. kerana itulah saya minta nasihat peguam bagaimana hendak mengendali situasi ini kerana ia sudah menjadi besar...
"...jika ada pemimpin yang tidak suka, saya mungkin dicap sebagai pembangkang...saya tidak mahu berada dalam situasi tersebut," katanya.
Ditanya sama ada mereka mahu beliau memberi kanyataan tanpa kehadiran peguam, Loh berkata mungkin.
Ditanya mengapa beliau mahu mendedahkan identitinya kepada umum sekarang, Loh berkata beliau berbuat demikian untuk keselamataan dirinya kerana beliau pernah mengalami gangguan seperti itu sebelum ini yang mebuatnya kini lebih berhati-hati..
Loh menyifatkan tindakan beliau berbuat demikian merupakan "pilihan terbaik yang saya ada".
Ditanya sama ada beliau pernah bercakap dengan PKR selepas klip video pertama selama lapan minit didedahkan, beliau berkata: "Saya didatangi kerana tidak ada saksi terbaik, (selain saya). Saya rasa semua orang akan jumpa saya...BPR, suruhanjaya diraja...jadi satu orang yang menjadi bukti, ia adalah saya."
DItanya sama ada pertemuan dengan PKR itu sebelum atau selepas klip video tersebut didedahkan, Loh berkata: "Tak pasti kerana saya sering keluar negara...bagaimanapun saya ditemui dan (mereka) minta kerjasama...mereka kata mereka hargai kerjasama dan sokongan saya...
'Tidak setuju didedahkan'
"Secara jujur saya agak keberatan...mungkin itulah sebabnya rakaman penuh klip video itu agak lama sebelum didedah...saya tetap tidak setuju (klip video itu didedahkan)...," tambahnya.
Ditanya sama ada beliau bersedia menghadiri prosiding suruhanjaya diraja itu, Loh berkata: "Sebagai rakyat yang baik...untuk kepentingan rakyat, saya patut beri kerjasama...terpulang kepada suruhanjaya itu untuk mencari jawapannya...
"Kandungannya tiada kaitan dengan saya, kecuali saya menjadi saksi kepada kandungan tersebut...kalau ditanya, saya tidak boleh nafi kerana saya yang tanya soalan (dalam klip video tersebut)..." tegasnya.
Ditanya benarkah beliau tidak tahu yang anak lelakinya merakamkan perbualan tersebut, Loh berkata pada masa itu beliau tidak tahu.
Ditanya sekali lagi sama ada PKR bertemu dengan beliau sebelum klip video itu didedahkan, Loh berkata: "Saya tidak setuju dengan pendedahan itu...yang pertamanya saya tidak tahu...kalaupun saya tahu, saya tidak akan setuju ia didedahkan...saya tidak akan beri klip video itu kepada mereka..."
Menjawab soalan seterusnnya Loh berkata: "Apa juga yang anda katakan, saya tidak mahu jadi perhatian dan dicap sebagai pembangkang. Itu sesuatu yang saya tidak suka, kerana kehidupan ini akan menjadi sukar jika dituduh sebagai pembangkang...saya tidak mahu kehidupan saya diancam, saya mempunyai sebuah keluarga yang baik...saya tidak mahu anak-anak saya diganggu..."
Ditanya apakah yang beliau beritahu kepada PKR ketika mereka menemuinya, Loh berkata: "Mereka cepat kenalpasti saya dan mahu saya beri sokongan...dan saya kata biarlah saya sendirian. Awak boleh lihat bagaimana bahagian kedua didedahkan lama kemudiannya, kerana saya kata tidak...
"Sebenarnya, BPR yang mengheret saya dalam isu tersebut...bukan PKR yang babitkan saya, tapi BPR yang ekori saya dan menemui saya, sehingga saya terpaksa dedahkan...kerana keselamatan saya. Saya mahu gangguan ini dihentikan," katanya.
Ditanya sama ada beliau membuat pendedahan hari ini bertujuan untuk melindungi anak lelakinya itu, Loh berkata, beliau pernah memberitahu anak lelakinya (yang merakam klip video itu) yang berada di luar negara bahawa beliau (Loh) diekori dan anak lelaki bungsunya turut diganggu.
"Dia menjerit dalam telefon dan kata dia akan cakap dengan media luar negara kerana tidak senang adiknya diganggu...," katanya.
Bagaimanapun, kata Loh, beliau menasihatkan anaknya itu supaya jangan berbuat demikian.
Ditanya sama ada anaknya itu sedia pulang untuk memberi keterangan, Loh berkata: "Saya telah berkata sebelum inipun...katanya apa yang hendak dibimbangkan....sekurang-kurangnya henti gangguan terhadap adiknya..."
Ditanya mengenai harapannya terhadap hasil siasatan suruhanjaya diraja itu, Loh berkata memang sukar untuk membuktikan Lingam bercakap dengan siapa kerana peguam itu mungkin hanya berlakon sahaja. |