AZMIN SUDAH JADI BEBAN, RAMAI MAHU BELIAU DIGUGURKAN DARIPADA KABINET



Rombakan kabinet adalah perkara yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia ketika ini setelah ramai semakin sakit hati melihat gelagat beberapa menteri sejak 15 bulan yang lalu.

Adalah dipercayai sekembalinya Tun Mahathir Mohamad dari lawatan rasmi ke Osaka, Jepun beberapa hari lagi, perkara itu pasti akan menjadi keutamaannya.

Ada juga cakap-cakap yang mengatakan, di ketika melawat Kemboja, kemudian Russia dan seterusnya Osaka, beliau akan menggunakan masa yang terluang, terutama ketika dalam penerbangan untuk memikir mengenai susunan kabinet barunya.

Walaupun Tun Mahathir dilaporkan hanya akan melakukan penyusunan semula ke atas portfolio beberapa menteri tanpa ada sesiapa digugurkan atau calon baru dibawa masuk, tetapi dalam banyak perbualan umum didapati masih ramai yang mengharapkan sebaliknya.

Harapan mereka, setidak-tidaknya dua tiga menteri yang tidak berfungsi dengan baik dan bermasalah serta menjadi liabiliti yang nyata kepada negara, adalah wajib digugur serta digantikan.

Mendahului senarai mereka yang paling dikehendaki untuk digugurkan ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun; Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik; Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy.

Menteri paling bermasalah dan seperti sudah menjadi biawak hidup untuk dipikul oleh Tun Mahathir pula ialah Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Nama yang paling dikehendaki dan diterima umum sebagai paling wajar dibawa masuk dalam kabinet ialah Mustapa Mohamad, Ahli Parlimen Jeli yang kini sudah bersama dengan Bersatu.

Meskipun nama Hamzah Zainuddin turut disebut-sebut sebagai bakal dibawa masuk sama, tetapi ramai yang menolaknya kerana beliau bukanlah menteri yang bagus ketika bersama BN dahulu, malah watak oppurtunis masa lalunya lebih dilihat sebagai faktor ketidaklayakannya.

Namun demikian, ahli gabungan PH iaitu DAP dikhabarkan menolak keras mana-mana pemimpin yang melompat parti dan bersama BN ketika PRU14 lalu untuk diberi sebarang jawatan kabinet.

DAP dikatakan berpendirian bahawa tindakan melantik mereka bererti mengkhianati pilihan pengundi yang telah menumbangkan UMNO dan BN.

Dalam kes Azmin, meskipun jika tidak dengan tersebarnya enam lagi klip video terbaru yang dikaitkan dengannya, beliau sebenarnya sudah pun dilihat sebagai beban kepada Tun Mahathir sejak beberaoa bulan yang lalu.

Dengan pengakuan Haziq Abdullah Abdul Aziz dan siasatan polis yang mengambil masa terlalu lama terhadapnya, ramai yang percaya Azmin seolah-olah cuba dilindungi.

Tetapi, semakin lama cuba dilindungi, penerimaan umum terhadapnya jelas dilihat makin merosot. Makin lama siasatan polis tertangguh, makin ramai yang percaya beliau terlibat dalam perkara itu.

Yang lebih buruk, makin cuba dilindungi, tempiasnya makin membasahi kedudukan Tun Mahathir sendiri.

Lebih buruk, Azmin sendiri dalam masa yang sama tidak menunjukkan prestasi yang membanggakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Tiada apa-apa pencapaian yang membanggakan sepanjang 15 bulan beliau memegang jawatan itu.

Tak usah diambil kira sumbangannya ke arah memulihkan ekonomi negara, menyelesaikan masalah Felda pun tidak ternampak perkembangannya lagi sehingga ini.

Di sebalik itu, kekerapan kerajaan memberi tugas sebagai menteri pengiring kepada Azmin menambah-burukkan lagi imej di mata dunia.

Misalnya, melantik beliau sebagai menteri pengiring kepada Yang Dipertuan Agong dalam lawatan rasmi baginda ke Indonesia baru-baru ini, sedangkan video beliau turut dihantar ke negara tersebut untuk dianalisa oleh Lokman Adam, ia akhirnya telah menjadikan dirinya persendaan media ketika lawatan diraja itu.

Dalam hal ini, tindakan Tun Mahathir memilih Azmin sebagai menteri pengiring ketika isu dirinya sedang membahang, selain menunjukkan ketidakpekaan Perdana Menteri yang sudah berusia 94 tahun, turut dilihat sebagai pengakuan Tun Mahathir secara tidak langsung bahawa Azmin bukanlah menteri yang penting dalam hal ehwal ekonomi negara.

Susulan itu, selain ramai yang mengharapkan agar Azmin digugurkan supaya Tun Mahathir tidak terus memikul biawak hidup dalam mengurus kerajaan, ada juga yang sinis mencadangkan suatu portfolio baru diwujudkan khas untuknya jika Perdana Menteri berasa terlalu sayang kepada Timbalan Presiden PKR yang selalu tidak hadir mesyuarat itu.

Portfolio itu ialah Menteri Pengiring Negara dengan tugas utama mengiringi pemimpin luar yang datang melawat Malaysia serta mengikut ke mana saja Perdana Menteri pergi mengelilingi dunia. (Shahbudindotcom 06/09/2019).

ANWAR SEDIA BERUNDING, KRISIS PKR AKAN BERAKHIR

ANWAR SEDIA BERUNDING, KRISIS PKR AKAN BERAKHIR

PIAGAM UMNO – PAS HANYA GIMIK POLITIK

ADA MENTERI HANYA FIKIR UNTUK DAPAT PENCEN SEBELUM MATI




Malam tadi saya menikmati makan malam bersama beberapa kenalan yang antaranya adalah mereka yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim sejak zaman ABIM lagi.

Dalam berbual-bual mengenai pelbagai isu dalam negara, termasuk politik semasa, tiba-tiba terkeluar cerita berkenaan perlakuan seorang menteri yang dirasa cukup memalukan perbuataannya.

Menteri berkenaan dikatakan datang menemui Anwar dan meminta Presiden PKR itu agar tidak terlalu terburu-buru untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.

Kata menteri tersebut, Anwar tidak perlu terlalu berpegang kepada tempoh masa kira-kira dua tahun yang dijanjikan kepadanya untuk penyerahan jawatan itu.

Sebaliknya, menteri itu mencadangkan agar Anwar hanya mengambil alih jawatan yang sudah sedia dijanjikan kepadanya itu selepas tiga tahun Tun Mahathir memegangnya.

Ditanya tentang alasannya, menteri tersebut secara berterus-terang menyatakan jika peralihan kuasa itu berlaku selepas tiga tahun, maka dapatlah beliau menikmati pencen penuh sebagai menteri selepas itu.

Tidak dipastikan sama ada menteri itu menyatakan demikian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri atau beliau sudah dapat merasakan namanya memang tidak tersenarai sebagai anggota kabinet selepas ini.

Mendengar alasannya itu, Anwar dikatakan agak sedikit terganggu dengannya, lalu tanpa membuang masa bertindak “membasuhnya” tanpa belas kasihan pada ketika itu juga.

Anwar telah “membebel” kepada menteri tersebut dengan agak lama sehingga beliau dilaporkan terdiam, tertunduk malu dan tidak mampu mengangkat mukanya lagi.

Anwar lantas mengingatkannya tentang perjuangan PH bukan memikirkan untuk diri sendiri atau habuan berbentuk peribadi, tetapi membela rakyat sebagaimana yang mereka harapkan apabila berlakunya perubahan kerajaan.

Sebagai pemimpin yang berjuang untuk rakyat, apalagi menteri itu mempunyai kelulusan yang agak tinggi, bukan memiliki sijil palsu, tetapi perjuangannya yang nampaknya semata-mata hanya memikirkan pencen untuk dirinya sememangnya sesuatu yang benar-benar memalukan.

Ini bermakna, menteri tersebut langsung tiada keikhlasan dalam dirinya, baik kepada PH, parti yang diwakilinya, rakyat yang mengundinya serta Tun Mahathir yang melantiknya sebagai menteri.

Yang difikirnya hanya jawatan, kedudukan dan nikmat pelbagai habuan sebagai anggota jemaah menteri dan kemudian pencen penuh puluhan ribu sebagai bekalan sebelum mati.

Tidakkah ini sebenarnya amat-amat memalukan?

Dengan itu, bukan saja Anwar tidak harus melantiknya lagi sebagai menteri apabila beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri nanti, bahkan sebaik-baiknya Tun Mahathir juga harus menggugurkannya dalam rombakan kabinet yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Cisss….pemimpin sebegini tidak layak sama sekali berada di bumi Malaysia ini. (Shahbudindotcom 05/09/2019)

Lantikan kontrak ganti lantikan tetap, berpencen perkhidmatan awam bermula 2020



PUTRAJAYA: Mulai tahun depan (2020), lantikan baru dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat dibawah skim tetap dan berpencen, sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambahbaik, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah.
Beliau berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2019 di sini semalam, Borhan berkata, skim lantikan kontrak baru itu, yang kini sedang diperhalusi, akan menawarkan gaji lebih menarik serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik.
“Lantikan kontrak mungkin tidak menikmati kelebihan macam skim lantikan tetap dan berpencen sekarang seperti pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan, namun faedah tersebut mungkin diterjemah dalam bentuk elaun lebih tinggi,” katanya.
Borhan berkata, lantikan kontrak yang akan diperkenalkan lebih dinamik dan bersesuaian dengan generasi Y yang tidak begitu “setia” dan memberi mereka opsyen untuk keluar daripada perkhidmatan awam dengan mudah selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu.
Beliau menegaskan bahawa skim lantikan kontrak baru itu juga tertakluk dibawah Akta Perkhidmatan Awam yang melindungi kepentingan penjawat awam, tidak kira berstatus tetap atau kontrak, bagi memastikan perkhidmatan mereka tidak ditamatkan dengan mudah jika tidak terbukti melakukan kesalahan.
“Jadi tidak bolehlah seseorang itu dilantik secara kontrak hari ini dan esok dengan mudah perkhidmatannya boleh ditamatkan,” katanya.
Beliau berkata, penjawat awam sedia ada mungkin diberi opsyen untuk beralih ke skim lantikan kontrak baru itu.
Menurut Borhan, lantikan dalam perkhidmatan awam secara tidak tetap dan berpencen sebenarnya sudah wujud cuma tidak berskala besar, contohnya dalam perkhidmatan tentera terdapat lantikan jangka pendek yang tidak berpencen.
Borhan berkata, penjimatan yang disasarkan berdasarkan skim lantikan kontrak untuk perkhidmatan awam itu ialah sebanyak RM5 bilion setahun.
Beliau berkata, JPA akan membentangkan cadangan pakej skim perkhidmatan kontrak perkhidmatan awam dan keputusan akan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan.
Mengenai pengecilan saiz perkhidmatan awam, Borhan berkata, kerajaan menetapkan pengurangan 5% untuk tempoh 3 tahun, iaitu 1% tahun ini, 2% tahun depan dan 2% pada 2021.
“Bagi mengatasi pengecilan itu antara pendekatan yang akan diambil ialah penyumberan luar perkhidmatan, sistem kerajaan digital dan mana-mana jawatan yang kosong lebih dua tahun yang dilihat tidak ada keperluan untuk diisi maka jawatan itu akan dimansuhkan.
“Di situ akan berlaku pengecilan yang dimaksudkan,” katanya.

JAWAPAN KEPADA POLITIK KAUM DAN AGAMA YANG MELAMPAU

Politik perkauman dan agama yang selama ini menjadi mainan UMNO dan Pas barangkali tidak relevan lagi selepas ini.
Ini berikutan persempadanan baru SPR yang akan menambah kawasan pengundi campuran sedang dilaksanakan dan mungkin menjadi kenyataan dalam PRU15 akan datang.
Sekarang ini, daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, kawasan yang benar-benar boleh dikategorikan sebagai campuran hanya ada 83 saja.
Selebihnya sama ada kawasan Melayu di luar bandar atau kawasan Cina di bandar-bandar.
Melalui persempadanan baru yang dirancang, kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi campuran akan ditambah menjadi sekurang-kurangnya 140 kawasan.
Dengan majoriti kawasan Parlimen memiliki jumlah pengundi campuran, gaya dan kempen politik yang bercorak kaum serta agama yang melampau dengan sendirinya akan terhapus serta tidak lagi relevan.
Ia akan menjadikan semua parti yang bertanding akan lebih menekankan kepada memperjuangan keperluan rakyat seperti peluang pekerjaan, perumahan, program kesihatan, program untuk belia, memerangi rasuah, tadbir urus kerajaan yang lebih baik dan seumpamanya.
Politik kaum dan agama yang sempit yang boleh memecah-belahkan masyarakat akan terpinggir dan tidak lagi diperlukan, bahkan menjadi sesuatu yang asing.
Inilah kaedah terbaik untuk menampilkan gaya politik sihat yang benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa retorik kaum dan agama yang keterlaluan seperti yang berlaku selama ini.
Selama ini, oleh kerana kawasan Parlimen yang mewakili satu-satu kaum masih merupakan majoriti, maka politik kaum dan agama telah berlaku dengan bermaharajalela sehingga wujudnya perpecahan yang ketara dalam masyarakat.
Ia bukan saja memisahkan antara mereka yang berlainan bangsa dan agama, bahkan juga di kalangan mereka yang sebangsa dan seagama.
Pindaan baru dengan menambah kawasan pengundi campuran ini adalah jawapan terbaik untuk mengekang politik kaum dan agama yang sesungguhnya sama sekali tidak sihat untuk negara berbilang bangsa seperti Malaysia. (ShahbudinHusin 03/09/2019)

Adu domba di media sosial jauh terpisah dari realiti sebenar Malaysia




Sejak dua bulan lalu, “media sosial Malaysia” seolah-olah membentuk rohnya yang tersendiri – memberikan sebuah gambaran yang salah bahawa kononnya daya pemisah dan pemecah-belah sedang bermaharajalela dan giat memporak-perandakan Malaysia — disebabkan oleh polarisasi kaum dan agama yang terburuk dalam sejarah negara.  

Bagaimanapun, ini adalah gambaran yang salah tentang keadaan sebenar di Malaysia.

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 pada 13 Ogos lalu bukan sahaja disambut dengan begitu meriah di ibu negara dan ibu negeri di negara ini, malah, untuk pertama kali sejak beberapa ketika, turut disambut dengan penuh warna-warni di pekan-pekan dan kampung-kampung di seluruh negara. 

Di kawasan Parlimen Iskandar Puteri, sebagai contoh, saya telah merasmikan beberapa acara antaranya sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 di Kangkar Pulai yang disertai kira-kira 2,000 penduduk, pertandingan debat, Konvoi Bermotorsikal Hari Kemerdekaan ke-62, dan Pesta Bola Hari Kemerdekaan ke-62 yang disertai 32 kumpulan dari beberapa kampung Melayu. 

Saya tidak menemukan sebarang sentimen yang diadu-dombakan “media sosial Malaysia” seperti perasaan curiga antara kaum dan agama, prasangka, sangsi, permusuhan, ketakutan dan kebencian, sebaliknya saya merasakan suasana ketika itu dipenuhi dengan semangat muhibah, persefahaman, harmoni dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia, tak kira orang Melayu, Cina atau India. 

Saya menyeru rakyat Malaysia, tak kira kaum dan agama, untuk membuktikan bahawa “media sosial Malaysia” adalah salah — bahawa ia salah dalam memberikan gambaran bahawa kononnya daya pemisah dan pemecah-belah sedang bermaharajalela dan giat memporak-perandakan Malaysia — disebabkan oleh polarisasi kaum dan agama yang terburuk dalam sejarah negara.  

Saya menerima dua pucuk surat, semalam. Ia mengandungi kata-kata nista dan kecaman yang membawa nada yang sama seperti ucapan-ucapan kebencian dan berita palsu yang kini sedang tular dan beredar dengan pantas di “media sosial Malaysia”. 

Salah satunya dikarang dalam bahasa Cina, menuduh saya antara lain sebagai “anjing suruhan”, “penipu” dan “pembohong politik tak tahu malu” sementara yang satu lagi dikarang dalam bahasa Inggeris, memanggil saya dengan gelaran YB Ular “Osama Lim KS bin Abdullah”, menuduh saya sebagai “anjing suruhan”, “pengkhianat orang Cina”, “penipu” dan “Parasit Dr. M yang paling jijik”.

Nada tuduhan ini ketara berbeza, kerana sejak separuh abad yang lalu, saya telah dituduh kononnya anti-Melayu, anti-Islam, dan seorang penganut agama Kristian, malah dituduh sebagai seorang komunis yang mempunyai pertalian darah dengan Chin Peng! Saya juga dituduh kononnya menjadikan Mahathir sebagai “boneka”. Kini, saya telah dituduh menjadi “anjing suruhan” dan “penipu” yang mengkhianati orang Cina serta kepentingan dan hak orang bukan Islam. 

Pun begitu, ini semua hanyalah perkakas yang digunakan tidak bertanggungjawab untuk mencipta berita palsu dan ucapan kebencian bagi menimbulkan prasangka antara kaum dan agama, curiga, permusuhan, ketakutan dan kebencian di Malaysia. 
Beberapa hari lalu, khabar angin tidak berasas bertiup kencang di Facebook:

“Dikatakan Lim Kit Siang lahir di Fujian dan datang ke Tanah Melayu dalam usia 16 tahun. Namun Lim Kit Siang mengatakan dia lahir di Batu Pahat, Johor;
“Tetapi tak pernah menunjukkan bukti di lahir di Tanah Melayu.”


Ini adalah salah satu contoh berita palsu dan ucapan kebencian yang kini sedang menguasai media sosial sejak dua bulan lalu. Semua ini dilakukan semata-mata untuk meniupkan rasa curiga, prasangka, permusuhan dan kebencian dalam Malaysia yang pelbagai kaum, dengan melaga-lagakan kaum dengan kaum dan agama dengan agama, sehingga membangkitkan situasi mengarut di mana setiap kumpulan etnik percaya bahawa mereka kini kononnya berdepan krisis eksistensial etnik, agama dan budaya.

Jika penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian ini tidak dibendung, kesannya hanya satu — kemusnahan fabrik sosial di negara ini. 

Salah satu contoh terbaharu adalah seruan untuk memboikot produk buatan bukan Muslim di media sosial. 

Sebagai sebuah negara yang menjadi tempat tertumpunya empat tamadun agung dunia – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat – kita haruslah memanfaatkan nilai-nilai terbaik daripada setiap tamadun ini untuk membina sebuah bangsa dan negara Malaysia — yang boleh dijadikan contoh kepada dunia sebagai bukti kejayaan Perikatan Peradaban.

Rakyat Malaysia harus bersatu dan bersaing dengan seluruh dunia, daripada terus bertelagah sesama sendiri. 

Kita kini sedang terlibat dalam perjuangan mencari jiwa Malaysia, sama ada komited dengan objektif sebuah Malaysia Baharu bertaraf antarabangsa yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti atau sama ada membenarkan berita palsu dan ucapan kebencian melaga-lagakan kaum dengan kaum dan agama dengan agama, memaksa setiap rakyat Malaysia kembali ke dalam kepompong etnik masing-masing dan menjadikan Malaysia sebuah negara penyangak dan gagal serta berteraskan klepto-teokrasi. 

Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak serta Sultan Selangor dalam titahnya menekankan kepentingan perpaduan nasional dan risiko penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian. 

Semua rakyat Malaysia harus mempertahankan perpaduan nasional dan mengecam berita palsu dan ucapan kebencian.  

Sepertimana peristiwa bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 — yang mengejutkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malahan dunia — menyerlahkan keberanian rakyat Malaysia, saya optimis bahawa majoriti rakyat Malaysia, tak kira kaum, agama atau wilayah, ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara bertaraf antarabangsa yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.

*Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Gelang Patah pada Rabu, 4 September 2019.

BICARA 1MDB: PEGAWAI NAJIB KE CHINA BIMBANG KESELAMATAN DIRI

UMUR PERSARAAN TIDAK PERLU DILANJUTKAN – TUN M

CABAR BUBAR PARLIMEN, TAJUNG KARANG TAK SABAR ‘BUANG’ NOH