Jelajah Selamatkan Malaysia bermula 23 Mac, himpunan Mansuh GST 2 April


SUFI0876
KUALA LUMPUR, 15 MAC:  Seluruh rakyat Malaysia dijemput hadir memeriahkan pesta demokrasi dalam beberapa siri Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia di seluruh negara mulai 23 Mac ini, dan perhimpunan aman mega Mansuh GST bertemakan ‘Undur Najib, Mansuh GST’ bertempat di Dataran Merdeka di sini pada 2 April ini.
Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia dan Perhimpunan Aman Mansuh GST ini menggariskan tiga tuntutan utama Pakatan Harapan:
  • Reformasi menyeluruh ke atas sistem dan institusi negara untuk memastikan kebebasan, keadilan dan keluruhan undang-undang;
  • Pembebasan segera Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan
  • Peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia, Mohamad Sabu  berkata, siri jelajah himpunan yang pertama akan diadakan pada 23 Mac ini bermula jam 8 malam di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah, Selangor.
“Sekretariat Muafakat Selamatkan Malaysia telah pun memanjangkan jemputan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Afdal untuk turut serta dalam himpunan muafakat pada 23 Mac dan sedang menunggu maklumbalas mereka.
“Himpunan kedua pula akan dianjurkan di Gelang Patah, Johor pada 16 April 2016 dan seterusnya ke Kedah pada 7 Mei 2016,” umum beliau dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, bagi perhimpunan aman Mansuh GST yang akan diadakan di Dataran Merdeka, pihak penganjur memperkenalkan logo, kemeja-T dan iklan media sosial sebagai promosi menjelang himpunan tersebut.
“Pelbagai acara untuk menghebahkan demonstrasi ini telah disusun oleh sayap-sayap pemuda Pakatan Harapan dan NGO selain dari siri-siri ceramah,” ujar beliau.
Beliau menambah, satu ceramah besar juga akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 31 Mac yang melibatkan semua pimpinan Pakatan.
“Saya yakin, pengisian-pengisian sebegini akan membina gelombang rakyat yang meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteri Najib Razak meletak jawatan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua himpunan yang dirancang adalah terbuka untuk semua rakyat Malaysia, dan tidak sama dengan satu acara tertutup yang dianjurkan oleh Datuk Zaid Ibrahim pada 27 Mac depan kerana majlis tersebut hanya terhad kepada kepada jemputan.
Turut hadir dalam sidang akhbar di Parlimen itu adalah Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke; Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli. – Roketkini.com

Kembalikan kuasa Mahkamah Persekutuan sebagai pemutus muktamad isu undang-undang



Persoalan Perlembagaan
Tuan yang dipertua,
Sepertimana yang kita sedia maklum, Perlembagaan Persekutuan merupakan sebuah perjanjian keramat yang memaktubkan hak dan kebebasan asasi setiap rakyat Malaysia. Kanun tertinggi negara kita ini ibarat payung yang melindungi setiap warganegara dengan memastikan bahawa tidak ada sesiapa yang dinafikan keadilan dan kesaksamaan di sisi undang-undang.
Pun begitu, adalah amat mendukacitakan sekali apabila terdapat rakyat Malaysia yang tidak terbela oleh sistem perundangan negara kita, sepertimana yang sering berlaku dalam isu hak penjagaan anak antara Muslim dan bukan Muslim.
Terkini, kes-kes S. Deepa dan Indira Gandhi Mutho telah menarik perhatian negara. Pada hemat saya, kedua-dua kes ini bukan sahaja semata-mata berkenaan dengan penafian hak ibu ke atas anak, atau persoalan penukaran agama secara unilateral, atau salah guna sistem (abuse of the system) oleh bapa yang memeluk Islam untuk mendapatkan hak penjagaan. Lebih penting lagi, kes seumpama ini turut menimbulkan persoalan besar mengenai Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa kehakiman dan hak rakyat Malaysia untuk mendapat remedi daripada mahkamah.
Sebagaimana yang kita maklum, dua kes berasingan ini melibatkan dua orang ibu beragama Hindu yang dipisahkan daripada anak-anak kecil mereka setelah bekas suami memeluk Islam dan menukar agama anak-anak kepada Islam tanpa persetujuan dan pengetahuan ibu. Kemudian, si bapa bertindak mendapatkan perintah Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan.
Saya pasti, jika kita mengenepikan sentimen dan emosi kita buat sejenak dan kembali kepada pemikiran rasional, sudah tentu kita akan melihat tindakan sebegini sebagai ketidakadilan dan penyalahgunaan sistem.
Walaupun Seksyen 88(3) Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 mengandungi anggapan (presumption) bahawa adalah lebih afdal bagi seseorang kanak-kanak bawah tujuh tahun untuk dijaga oleh ibunya (apatah lagi apabila anak berkenaan itu kecil dan masih menyusu, seperti dalam kes Indira Gandhi), namun peruntukan ini berjaya dipintas apabila si bapa bertindak melalui Mahkamah Syariah dan bukan mahkamah sivil.
Jadi, oleh kerana Perlembagaan Persekutuan menentukan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas Muslim, maka si ibu bukan Muslim tidak mempunyai locus standi dan tidak mempunyai hak untuk mencabar perintah Mahkamah Syariah yang memberi hak penjagaan kepada bapa, di samping penukaran agama anak secara unilateral. Justeru, dengan begitu mudah sahaja, seorang ibu kehilangan anaknya.
Demikianlah yang terjadi dalam kedua-dua kes ini. Akibat tiada pilihan lain, si ibu terpaksa ke Mahkamah Tinggi untuk mendapat perintah hak penjagaan (custody order). Namun begitu, setelah berjaya di Mahkamah Tinggi, perintah tersebut langsung tidak dihiraukan oleh pihak polis atas alasan bahawa terdapat perintah berlainan daripada Mahkamah Syariah. Malah, perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi untuk memaksa Ketua Polis Negara untuk melaksanakan waran penangkapan serta perintah mendapatkan kembali (recovery order) terhadap bekas suami juga diabaikan.
Sudah tentu, saya tidak menyalahkan pihak polis dalam hal ini. Mereka pastinya keliru berkenaan perintah mahkamah manakah yang harus mereka patuhi – mahkamah sivil atau Mahkamah Syariah. Kekalutan ini menjadi dilema besar yang mempunyai kesan mendalam terhadap sistem kehakiman dan keadilan negara kita.
Bagi kes Indira Gandhi, Mahkamah Rayuan kemudiannya telah menterbalikkan perintah-perintah Mahkamah Tinggi dengan memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula keputusan pentadbiran di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, yakni dalam kes ini, penukaran agama kepada Islam. Kini, kes yang sudah berlarutan selama tujuh tahun ini masih tidak selesai dan sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Namun, isu yang paling kritikal sekali adalah keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan bahawa hakikat Indira Gandhi itu bukan Muslim dan tidak boleh mendapat remedi dalam Mahkamah Syariah, tidak bermaksud bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk memberi remedi kepadanya. Keputusan sedemikian sudah tentu bertentangan dengan prinsip ubi jus ibi remedium (setiap hak berhak mendapat remedi – where there is a right there is a remedy). Sebagai warganegara Malaysia, Indira Gandhi mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat remedi daripada sistem kehakiman. Namun, dalam kes ini, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai remedi di mana-mana mahkamah! Ini adalah suatu keadaan yang langsung tidak masuk akal. Bagaimanakah mungkin seseorang warganegara boleh dinafikan hak secara sewenang-wenangnya?
Dalam kes S. Deepa pula, jalan ceritanya agak sama, cuma kes telah sampai kepada Mahkamah Persekutuan yang memutuskan untuk memisahkan hak penjagaan, di mana anak lelaki diberikan kepada bapa Muslim dan anak perempuan kepada ibu Hindu.
Pada masa yang sama, Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa masalah hak penjagaan atau perceraian perkahwinan sivil hanya boleh dikendalikan oleh mahkamah sivil dan bukan syariah, kecuali kedua-dua suami dan isteri itu Muslim. Sekurang-kurangnya hal ini telah dijelaskan. Namun begitu, Mahkamah Persekutuan tidak menjelaskan sama ada mahkamah sivil atau syariah yang mempunyai kuasa untuk menentukan status keagamaan anak yang ditukar agama secara unilateral kepada Islam.

Dilema sistem kehakiman
Tuan yang dipertua,
Daripada kes-kes yang dinyatakan tadi, jelas terdapat beberapa persoalan besar yang belum diselesaikan. Pertama, bagaimana untuk menangani penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara unilateral. Kedua, perintah mahkamah manakah yang sepatutnya dituruti oleh pihak penguatkuasa apabila terdapat perintah bercanggah daripada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah. Ketiga, di manakah hak remedi seorang bukan Muslim dalam kes yang membabitkan Mahkamah Syariah. Akhir sekali, dan saya kira paling pokok sekali, bagaimana untuk menyelesaikan masalah bidang kuasa mahkamah yang timbul ini.
Kekusutan yang melingkari persoalan-persoalan ini memerlukan penyelesaian tuntas yang tidak boleh lari daripada akar kepada permasalahan ini sendiri, iaitu bidang kuasa mahkamah yang tidak jelas. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku jika kita memegang kepada semangat asal Perlembagaan.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara kita, terdapat pemisahan kuasa yang jelas dalam tiga badan utama. Setiap badan mempunyai kuasa mutlak (plenary authority) ke atas bidang kuasa masing-masing, yakni kuasa eksekutif Persekutuan di bawah Yang di-Pertuan Agong, kuasa legislatif Persekutuan di bawah Parlimen, dan kuasa kehakiman Persekutuan di bawah “dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya,” iaitu satu di Malaya dan satu di Borneo, serta “mana-mana mahkamah bawahan yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan.”
Namun, dalam pindaan Perlembagaan pada tahun 1988, berikutan krisis kehakiman yang dicetuskan oleh penyingkiran Ketua Hakim Negara dan beberapa Hakim Mahkamah Agung, kuasa mutlak kehakiman Persekutuan telah dilucutkan daripada mahkamah. Setelah dipinda, Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan kini menyebut bahawa mahkamah hanya mempunyai “apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.”
Dalam erti kata lain, sebelum pindaan, kuasa mutlak kehakiman Persekutuan terletak di bawah Mahkamah. Kini, kuasa mahkamah terletak di bawah atau diperolehi daripada undang-undang Persekutuan. Ini bukan sahaja merampas kuasa badan kehakiman tetapi juga merosakkan taraf salah sebuah badan utama Perlembagaan yang sepatutnya berkuasa mutlak ke atas bidang kuasanya.
Sekali dengan pindaan ini, maka Perkara 121(1A) telah ditambah bagi memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi “tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.” Hal ini lantas mewujudkan dua sistem keadilan yang selari (parallel systems of justice) di Malaysia, di mana Mahkamah Syariah kini beroperasi secara selari dengan mahkamah sivil.
Sistem selari ini menimbulkan pelbagai masalah, khususnya dalam kes seperti yang dinyatakan di atas, apabila melibatkan bukan Muslim dalam kes syariah. Persoalan yang timbul adalah, bagaimana untuk memastikan hak keadilan dan pembelaan saksama?
Jika kita kembali kepada Perlembagaan, Perkara 75 menyatakan bahawa undang-undang Persekutuan mengatasi undang-undang Negeri, manakala Perkara 4 menyatakan Perlembagaan Persekutuan mengatasi semua undang-undang lain. Hal ini jelas dan tidak dipertikaikan. Namun dalam kes Indira Gandhi, umpamanya, kelihatannya tiada undang-undang yang dapat membela ibu malang ini – Mahkamah Syariah tidak boleh, mahkamah sivil juga tidak boleh. Oleh yang demikian, ke manakah harus si ibu ini tujukan nasibnya?
Inilah persoalan besar yang timbul ekoran pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat pada tahun 1988, iaitu masalah akibat kewujudan dua sistem keadilan yang selari. Persoalannya – siapa menjadi pemutus muktamad (final arbiter) dalam segala isu pertikaian undang-undang, termasuk dalam kes di mana bidang kuasanya tidak jelas?
Di bawah Perkara 128(1) dan (2) Perlembagaan, Mahkamah Persekutuan merupakan kuasa kehakiman tertinggi dan seharusnya menjadi pemutus muktamad dalam “apa-apa soal sama ada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan sesuatu Negeri adalah tidak sah” berdasarkan kepada bidang kuasanya, pertikaian antara Negeri dengan Negeri atau antara Negeri dengan Persekutuan, serta dalam memutuskan soal yang berkaitan dengan Perlembagaan apabila dirujuk kepadanya oleh mana-mana mahkamah lain.
Pada masa yang sama, jika Perkara 121(1A) diteliti, pengasingan bidang kuasa Mahkamah Syariah itu jelas hanya tertakluk kepada Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah bawahan, dan tidak kepada Mahkamah Rayuan dan Persekutuan. Maka, sepatutnya, tidak timbul isu di mana mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kes-kes seperti di atas, dan bukan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Indira Gandhi.
Namun begitu, masalah bidang kuasa yang tidak jelas ini timbul akibat peruntukan di bawah Seksyen 81 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang menyatakan bahawa bidang kuasa asal Mahkamah Persekutuan yang termaktub dalam Perkara 128(1) dan (2) Perlembagaan “hendaklah mempunyai bidang kuasa yang sama dan boleh menjalankan kuasa yang sama seperti yang dipunyai dan boleh dijalankan oleh Mahkamah Tinggi.”
Ini sekaligus mengehadkan kuasa Mahkamah Persekutuan! Sepatutnya, sepertimana kita tahu, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan mengatasi undang-undang Persekutuan. Maksudnya, Perkara 128 Perlembagaan sepatutnya mengatasi Seksyen 81 Akta Mahkamah Kehakiman. Tetapi, oleh kerana pindaan pada tahun 1988, kuasa mahkamah kini terhad kepada “apa-apa bidang kuasa dan kuasa yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan.” Dalam erti kata lain, oleh kerana kuasa mahkamah kini dihadkan kepada apa yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan, maka Seksyen 81 Akta Mahkamah Kehakiman kini mengekang Mahkamah Persekutuan daripada fungsi dan bidang kuasa sebenarnya.

Kembalikan status Mahkamah Persekutuan
Tuan yang dipertua,
Pindaan semberono yang dibuat pada tahun 1988 telah meninggalkan warisan yang buruk kepada negara kita dan mencetuskan krisis Perlembagaan dan penafian hak dan kebebasan asasi rakyat seperti yang berlaku dlm kes-kes S. Deepa dan Indira Gandhi.
Oleh itu, saya ingin mencadangkan agar Mahkamah Persekutuan dikembalikan tarafnya sebagai pemutus muktamad dalam segala isu undang-undang, yakni sebagai Mahkamah Perlembagaan. Malah, ini boleh dibuat dengan mudah tanpa pindaan Perlembagaan atau apa-apa perubahan kepada Perkara 121.
Penyelesaian kepada masalah ini boleh dicapai melalui pindaan kepada Akta Mahkamah Kehakiman dalam dua perkara. Pertamanya, pendefinisian bidang kuasa Mahkamah Persekutuan harus menyatakan dengan jelas bahawa Mahkamah Persekutuan tidak dihadkan kepada bidang kuasa yang sama dengan Mahkamah Tinggi.
Kedua, satu prosedur harus diperkenalkan bagi membenarkan pengemukaan petisyen secara langsung kepada Mahkamah Persekutuan dalam hal-hal yang melibatkan hak dan kebebasan asasi, termasuk dalam kes-kes yang melibatkan Perkara 121(1A) di mana Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa.
Prosedur ini boleh mengikut tatacara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan India, iaitu model rujukan kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia, di mana Perkara 32 Perlembagaan India memberi hak untuk mengemukakan petisyen secara langsung kepada Mahkamah Agung bagi menguatkuasakan hak dan kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Tambahan pula, Mahkamah Agung diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah termasuk writ habeas corpus, mandamus, prohibition, quo warranto and certiorari, atau apa-apa yang sesuai, bagi penguatkuasaan hak tersebut.
Pindaan sedemikian boleh dengan mudah ditambah kepada Akta Mahkamah Kehakiman, sekaligus menyelesaikan kemelut kehakiman yang sedia ada. Dengan pindaan ini, masa tidak perlu dibazir, seperti dalam kes Indira Gandhi, di mana selepas menderita tujuh tahun, kes beliau masih belum sampai ke Mahkamah Persekutuan. Jika sudah jelas bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa ke atas isu yang melibatkan Perkara 121(1A), maka mengapakah beliau terpaksa melalui segala prosedur yang tidak mendatangkan hasil? Tidakkah lebih baik diwujudkan mekanisme untuk mendapat remedi secara langsung daripada Mahkamah Persekutuan?
Lebih penting lagi, pindaan sedemikian juga akan mengembalikan status Mahkamah Persekutuan sebagai Mahkamah Perlembagaan yang dapat mempertahankan hak semua rakyat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan memastikan tidak ada lagi warganegara yang tidak terbela.
Sekian, terima kasih.

Penulis adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera. Ini adalah ucapan beliau dalam perbahasan usul Junjung Kasih Titah Diraja 2016 di Parlimen baru-baru ini.

DARIPADA BALING GELAS TAK PECAH, SEMUA KINI TERLIHAT KELAM-KABUTNYA



Betapa UMNO dan pimpinannya sedang kelam kabut dek tamparan Deklarasi Rakyat kini sedang menjadi tontotan di mana-mana dan ia bukan lagi sesuatu yang boleh disembunyikan.

Daripada pelbagai cubaan mahu mengalihkan perhatian dengan menakut-nakutkannya seolah-olah agenda DAP dan Lim Kit Siang sedang menuju kemenangan dan deklarasi itu bagi memenuhi kehendak peribadi Tun Mahathir Mohamad semata-mata,  dalam masa yang sama Ketua, Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian terpaksa tampil sekali lagi menyatakan sokongan terbuka kepada Najib Razak.

Beberapa bulan dulu mereka sudah bersolidariti menyatakan ikrar sokongan kepada Najib, kini sekali lagi ditampilkan ulang tayang wayang yang sama semata-mata untuk mendamaikan jiwa Perdana Menteri yang gundah gulana. 

Tidakkah ini sesuatu yang kelakar? Berapa kali mahu berikrar dan bersolidariti dalam setahun?

Jika sebelumnya apabila Tun Mahathir keluar UMNO, beliau dikatakan hanya mengulangi taktik lama sambil memperlekehkannya sebagai negawaran tua yang sudah berusia 91 tahun dan dikatakan "baling gelas pun tak pecah", ternampaknya sekarang "pukulan pertama" bekas Perdana Menteri itu tetap kuat bisanya.

Itu baru langkah pertama yang diambilnya, belum lagi beberapa kejutan lain yang dipercayai akan terus dilakukan  oleh Tun Mahathir dalam usahanya memastikan Najib dapat diturunkan daripada tampuk kuasa Perdana Menteri.

Sesungguhnya, kejayaan menghasilkan Deklarasi Rakyat yang diinisiatifkan oleh Tun Mahathir adalah suatu sejarah bagi negara. Ia buat pertama kali telah berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh ternama daripada UMNO dan pembangkang untuk bersetuju dalam satu perkara demi kepentingan negara.

Jika diikut logik, adalah lebih baik parti-parti pembangkang tidak menyertai deklarasi itu kerana dengan imej Najib yang semakin buruk dan ditambah dengan  pelbagai isu yang sedang membelitnya, membiarkan saja Tun Mahathir melakukan asakan secara berasingan adalah suatu kelebihan kepada mereka untuk memenangi pilihanraya akan datang.

Tetapi, kenapakah pemimpin-pemimpin pembangkang setuju untuk bekerjasama?

Tidakkah apabila Najib berjaya disingkirkan, UMNO lebih berpeluang membaiki imejnya dan seterusnya harapan untuk memenangi pilihanraya juga kembali cerah?

Setelah Najib berjaya disingkirkan dan UMNO dipulihkan, di mana parti-parti pembangkang ketika itu nanti?

Dalam hal ini, terbukti bahawa parti-parti pembangkang tidak mementingkan diri sendiri. Sudah tentu kerjasama itu didorong oleh keinginan  untuk sama-sama memainkan peranan dalam menyelamatkan negara ini.

Dua tahun sebelum pilihanraya, jika Najib terus dibiarkan mentadbir negara, kita pun tidak tahu berapa banyak lagi kerosakan yang diakibatkan olehnya. 

Kita juga tidak tahu berapa banyak lagi hutang negara dan cengkaman atas nama undang-undang dan akta yang akan digubal untuk menyelamatkan kuasanya.

Lebih dibimbangi, jika semua kerosakan itu, kalau pun pembangkang berjaya memenangi pilihanraya, ia sudah terlalu sukar untuk dipulihkan semula.

Di sinilah letaknya  jiwa besar parti-parti pembangkang yang sedia menyambut huluran tangan Tun Mahathir bagi sama-sama menandatangani dan menggerakkan Deklarasi Rakyat itu.

Yang penting, setelah Najib berjaya diturunkan, sama ada selepasnya BN terus berkuasa atau kerajaan peralihan yang mengambilalihnya, pemulihan dan reformasi institusi haruslah dilakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat semua.

Di pihak Tun Mahathir, kerjasama ini juga bukanlah kerja gila sebagaimana yang didakwa oleh seorang Tengku campuran Acheh dan Melaka, tetapi suatu gerak kerja luar biasa yang melampaui pemikiran parti dan anutan hari-hari kebanyakan rakyat negara ini.

Segala-galanya kerana keinginan yang sama untuk menyelamatkan negara dan tidak mahu melihat Malaysia menjadi lebih buruk keadaannya.

Jika Tun Mahathir seorang atau bersama pemimpin-pemimpin pembangkang masih tidak cukup kuat melakukannya, kita sebagai rakyat yang tentunya sama-sama sayangkan negara inilah yang boleh memastikan "gelas benar-benar dapat dipecahkan"  akhirnya. (SH 14/03/2016).


‘USUL UNDI TIDAK PERCAYA MUNGKIN MEREBAK KE DUN PERAK’

BLOK KUASA KETIGA PAS HANYA PECAH BELAHKAN PEMBANGKANG – KHALID SAMAD

ARTIS BARU INDON KA MALAYSIA YANG KAYA RAYA NI????













KU NAN SEORANG PEJUANG...KAHKAHKAH


Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menjelaskan, beliau adalah keturunan Tengku dari Acheh yang didakwanya merupakan pejuang agama dan bangsa.

"Lihat sejarah Acheh di mana Tengku Nyah Abu pergi dan inilah cucu dia, pejuang Islam dan pejuang yang mempertahankan tanahair.

"Datuk dan nenek saya tidak pernah tunduk kepada Belanda. Sebab itulah saya kuat, darah itulah yang mengalir," kata Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.

Dengan menggambarkan demikian, tidak lain Ku Nan bermaksud untuk memberitahu bahawa beliau juga seorang pejuang sebenarnya, sama seperti nenek moyangnya dahulu.

Tetapi berdasarkan rekod Ku Nan selama ini, beliau hanya dikenali sebagai pembodek kepada pemimpin yang berkuasa semata-mata. 

Datuk dan neneknya tidak pernah tunduk kepada Belanda, tetapi beliau sepanjang masa hanya membiarkan dirinya tunduk kepada pemimpin yang ada kuasa sahaja.

Mereka yang berada dalam UMNO tentunya lebih mengetahui perkara ini.

Zaman Tun Mahathir, beliau bodek Tun Mahathir. Zaman Anwar Ibrahim, beliau bodek Anwar Ibrahim. Zaman Tun Abdulah Ahmad Badawi, beliau bodek Tun Abdullah Badawi dan zaman Najib, lagi kuat bodek Najib.

Jika selepas ini, Zahid Hamidi naik, Zahid Hamidi pula dibodeknya.

Maka, di mana yang dikatakan beliau  itu seorang pejuang?

Sebelumnya, Ku Nan lebih dikenali sebagai ahli perniagaan bersama seorang taikun Cina yang terkenal sebelum dilantik menjadi Setiausaha Kerja UMNO, Setiausaha Agung UMNO dan kemudian sebagai menteri.

Dan bila masa beliau pernah dikenali sebagai pejuang yang berani dan lantang dalam memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa?

Pembodek yang berani mungkin ya, tetapi adakah membodek itu suatu perjuangan? 

Apakah juga membodek pemimpin yang ada kuasa suatu perbuatan yang mendatangkan apa-apa manfaat untuk agama dan bangsa atau hanya untuk dirinya saja? (SH 13/03/2016).

Selamatkan Malaysia: Berbuat sesuatu lebih baik daripada tidak buat apa-apa


komentar rkini
Hari yang indah, keliru dan pilu.
Hari ini 8 Mac adalah Hari Wanita Sedunia. Hari ini juga genap dua tahun hilangnya pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal, dan ia masih menjadi satu misteri besar di abad ini.
Di sebalik kesedihan itu, masih ada ruang untuk menepuk dada tanda sedikit lega. Kerana hari ini juga hari ulang tahun tsunami politik 2008 dalam Pilihan Raya Umum ke-12 di mana pengundi Malaysia membuat kejutan dengan menyingkirkan Barisan Nasional dari lima negeri, dan menafikan majoriti dua pertiga Parlimen.
Era Pakatan 2008 – 2013 (selain rampasan kuasa oleh BN di Perak) menonjolkan kemampuan kerajaan negeri “pembangkang” di Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan dan Perak (sehingga awal 2009) untuk membangunkan negeri.
Malah, di beberapa negeri Pakatan Rakyat, ia lebih baik daripada kebanyakan negeri tadbiran BN. Buktinya bukan angkat bakul Pakatan tetapi bersumber daripada laporan Ketua Audit Negara sepanjang tempoh berkenaan.
Namun, kejayaan pentadbiran pasca-PRU12 gagal dipertahankan oleh watak-watak utama politik apabila mereka mula bertikam lidah selepas PRU 2013. Walaupun BN juga mengalami krisis dalaman, media yang dikuasai BN seperti TV, radio dan akhbar hanya menyebarkan dakyah tentang kelemahan Pakatan tetapi menutup kemelut UMNO-BN.
Dengan itu, Pakatan Rakyat mati tak berkubur (walau serpihannya masih wujud di Selangor dalam keadaan yang unik) pada 2015. Maka hidup pula gabungan baru atas nama Pakatan Harapan.
Ini meresahkan jutaan akar umbi pembangkang yang sedar bahawa sementara pimpinan mereka bertelagah, BN semakin teruk dilanda skandal kewangan, semakin kuku besi menutup ruang kebebasan, semakin mempermainkan agama dan kaum untuk mempertahankan kuasa mereka.
Dalam kegelisahan itu, ada sesuatu yang tidak disangka pula berlaku.
Kebobrokan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak seolah-olah menjadi pencetus kepada perpaduan pembangkang seperti Lim Kit Siang (DAP), Azmin Ali (PKR), Mohamad Sabu (Amanah) dan Mustafa Ali (PAS) serta disokong Datuk Seri Anwar Ibrahim; malah, membawa bersama suara NGO, aktivis, pemimpin politik BN dan rakyat keseluruhannya.
Ini kerana Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin UMNO yang dimangsakan parti sendiri seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Paduka Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal sudi bersama pembangkang untuk memulakan usaha menyingkirkan Najib secara sah.
Lebih dari itu, aktivis seperti Datuk Ambiga Sreenevasan, Maria Chin Abdullah, Hishamuddin Rais dan ramai lagi sudi bersama orang-orang UMNO itu untuk membuka lembaran baru untuk Malaysia.
Bayangkan musuh politik boleh duduk bersama pada 4 Mac lalu untuk menandatangani Deklarasi Rakyat atau Citizens Declaration yang mempunyai empat matlamat asas:
1. Menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan;
2. Menyingkirkan semua mereka yang bersekongkol dengannya;
*3. Memansuhkan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih; dan
4. Memulihkan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC).
Ini sekadar langkah permulaan. Tiada siapa tahu bagaimana akhirnya nanti. Sudah tentu ada yang suka, ada yang benci, dan ramai pula yang mengakui terpaksa menerima hakikat ini walau hati berat dengannya.
Seperti kata Kit Siang: “Ia sesuatu yang patut dicuba. Belum tahu gagal atau tidak. Lebih baik kita cuba daripada tidak buat apa-apa.”
Sudah tentu pelbagai fitnah dan pembohongan akan terus dilemparkan. Cuma kali ini, mungkin penyebar fitnah menghadapi “sedikit” masalah kerana Deklarasi Rakyat bukan milik Pakatan Harapan atau Pakatan Rakyat atau mana-mana parti.
Deklarasi Rakyat milik semua yang mahukan perubahan, dan ini termasuk tokoh besar UMNO/Melayu seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin.
Memang deklarasi itu tidak sempurna. Ia bukan kendi ajaib yang boleh menurunkan Najib esok atau minggu depan. Ia bukan boleh menamatkan penguasaan BN serta-merta. Ia penyambung perjalanan yang telah dimulakan sejak lama dulu.
Namun, ia adalah satu langkah baru untuk membawa Malaysia ke arah demokrasi yang sebenar, peluang ekonomi yang lebih adil, ruang pendidikan yang lebih terbuka, dan mungkin juga muhibbah yang selama ini dipencilkan atas nama kaum dan agama.
Walaupun tidak sempurna, rasanya ia lebih baik daripada sekadar syok sendiri menyalahkan orang lain yang mahu mencuba membawa perubahan, walau sekecil mana usaha itu. – Roketkini.com

Kit Siang: Dengan Najib pun saya sudi bekerjasama, dengan syarat…






a570


PADANG BESAR, 13 MAC: Lim Kit Siang bukan saja sanggup bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah sudi bersama Datuk Seri Najib Razak, demi menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran.
Ketua Parlimen DAP itu berkata, beliau sanggup bekerjasama jika Perdana Menteri sanggup mengakui telah salah tadbir negara, dan menerima hakikat Malaysia perlu diselamatkan melalui reformasi demokrasi dan institusi.
Menurutnya, jika Najib setuju dengan kempen “Selamatkan Malaysia”, beliau perlu melaksanakan lima perkara secepat mungkin:
  1. Bebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kembalikan semua hak asasi dan politik beliau, seperti mana yang diperolehi Nelson Mandela selepas dibebaskan dari penjara, untuk membolehkan beliau menyertai proses reformasi demokrasi dan institusi.
  2. Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bebas dan berwibawa bagi menyiasat skandal RM55 bilion 1MDB dan “derma” RM2.6 bilion yang melibatkan Najib, dengan memanggil semua yang terlibat termasuk Najib sendiri serta mereka yang terlibat dalam Pasukan Petugas yang asal, iaitu bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamad; dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali; selain itu, semua penderma RM2.6 bilion (di mana angkanya sudah meningkat RM4.2 bilion mengikut laporan media) dan watak-watak utama 1MDB serta personaliti pihak kerajaan, hartawan Jho Low, perlu dipanggil juga untuk siasatan.
  3. Lepaskan jawatan Perdana Menteri buat seketika untuk bercuti bagi membolehkan RCI menyiasat skandal mega berkembar Najib tanpa perlu ditekan atau dipengaruhi kuasa Perdana Menteri.
  4. Hentikan trend ke arah pemerintahan kuku besi, dengan menarik balik semua usul perundangan zalim, termasuk pindaan Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan; menarik balik Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara; dan menarik balik semua tuduhan dan siasatan terhadap pemimpin dan ahli pembangkang serta masyarakat sivil yang didakwa mengikut undang-undang yang zalim itu.
  5. Mansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan jimatkan perbelanjaan negara dengan membatalkan RM50 bilion yang hanya bersifat korup dan membazir termasuk mengurangkan separuh saiz Kabinet, serta mengutamakan sektor pendidikan, kesihatan dan perumahan yang diperlukan oleh semua rakyat Malaysia.
Kit Siang yang menyuarakan pandangannya itu dalam usaha mempopularkan kempen Selamatkan Malaysia kini dalam rangka jelajah ceramah di utara Semenanjung.
Sebelum mengunjungi Perlis hari ini, beliau berada di Kedah semalam dengan mengadakan pertemuan bersama rakyat di Sungai Petani, Semeling, Anak Bukit dan Alor Setar. – Roketkini.com