𝘒𝘦𝘯𝘺𝘢𝘵𝘢𝘢𝘯 𝘔𝘦𝘥𝘪𝘢
𝟮𝟬 𝗝𝘂𝗻 𝟮𝟬𝟮𝟱
𝗣𝗘𝗡𝗗𝗔𝗞𝗪𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗨 𝗙𝗔𝗜𝗟 𝗞𝗘𝗠𝗕𝗔𝗟𝗜 𝗗𝗔𝗞𝗪𝗔𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗦 𝗦𝗥𝗖 𝗧𝗘𝗥𝗛𝗔𝗗𝗔𝗣 𝗗𝗔𝗧𝗢’ 𝗦𝗘𝗥𝗜 𝗡𝗔𝗝𝗜𝗕 𝗥𝗔𝗭𝗔𝗞 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗦𝗘𝗚𝗘𝗥𝗔
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada hari ini, membenarkan permohonan peguam Dato’ Seri Najib Razak agar beliau 𝗱𝗶𝗹𝗲𝗽𝗮𝘀 𝘁𝗮𝗻𝗽𝗮 𝗯𝗲𝗯𝗮𝘀 (𝘥𝘪𝘴𝘤𝘩𝘢𝘳𝘨𝘦 𝘯𝘰𝘵 𝘢𝘮𝘰𝘶𝘯𝘵𝘪𝘯𝘨 𝘵𝘰 𝘢𝘯 𝘢𝘤𝘲𝘶𝘪𝘵𝘵𝘢𝘭, atau DNAA) dalam kes salah guna wang rakyat berhubung syarikat milik kerajaan SRC International Sdn Bhd (“SRC”).
Dalam tahun 2019, Dato’ Seri Najib didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) atas tuduhan menerima wang haram (dari aktiviti yang melanggar undang-undang) sebanyak RM27 juta berkaitan SRC.
Walaupun didakwa di mahkamah sejak 2019, sehingga kini perbicaraan masih belum boleh berjalan kerana pihak pendakwa raya tidak dapat menyiapkan dokumen-dokumen bukti untuk dikemukakan di mahkamah.
Saya menghormati hak Dato’ Seri Najib untuk membuat permohonan DNAA kerana beliau telah menunggu lama sejak 2019. Saya juga menghormati keputusan YA Hakim K Muniandy yang membenarkan permohonan DNAA itu.
Saya tidak faham kenapa pihak pendakwa raya mengambil masa yang begitu lama (sejak 2019) untuk menyiapkan dokumen seperti yang diperlukan untuk memulakan kes?
Apatah lagi, kes ini bersabit dengan SRC, yang mana Dato’ Seri Najib kini sedang menjalani hukuman atas sabitan bersalah dari kes pertama melibatkan SRC. Dari pengalaman saya mengkaji dan mendedahkan skandal 1MDB dan SRC sebelum ini, penyelewengan melibatkan SRClah yang mempunyai bukti aliran tunai (money trail) yang lebih jelas.
Kelemahan ini jelas perlu dijawab oleh pihak pendakwa raya. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu melihat kes ini berlalu begitu sahaja atas kegagalan pendakwa (yang mewakili kerajaan) menyiapkan dokumen bukti ke mahkamah, berhubung satu skandal (iaitu SRC) yang telah pun dijatuhkan hukuman bersalah.
Oleh itu, saya menyeru supaya pihak pendakwa 𝗱𝗮𝗽𝗮𝘁 𝗺𝗲𝗻𝗴𝗲𝘀𝗮𝗵𝗸𝗮𝗻 bahawa Kamar Peguam Negara (AGC) akan memfailkan semula pertuduhan dengan secepat mungkin dan menyiapkan dokumen-dokumen dengan sewajarnya, agar kes ini dapat berjalan dengan segera.
Sebagai Ahli Parlimen, saya akan mengikuti perkembangan kes ini dengan dekat agar ia tidak tercicir dari pandangan awam.
𝗥𝗔𝗙𝗜𝗭𝗜 𝗥𝗔𝗠𝗟𝗜
20 Jun 2025

No comments:
Post a Comment