Alhamdulillah, Kerajaan MADANI telah memperkenalkan pelbagai anjakan dan reformasi sepanjang dua tahun mentadbir negara terutama bagi memacu pertumbuhan ekonomi, perdagangan, pelaburan dan kebajikan rakyat.
Pelbagai inisiatif dan bantuan dilaksanakan untuk berkongsi kemakmuran secara adil kepada rakyat, di samping mengangkat imej negara di pentas antarabangsa hingga menarik minat syarikat gergasi dunia untuk melabur di Malaysia.
Ini hanyalah permulaan dan banyak lagi perancangan sedang dirangka untuk mencipta lebih banyak kejayaan, termasuk dengan memperbaiki kelemahan dan perkhidmatan kepada rakyat.
Kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil daripada kestabilan politik dan kebersamaan pimpinan untuk bergerak sederap dan senada, di samping iltizam penjawat awam yang menunjukkan kesediaan melakukan reformasi serta meningkatkan kecekapan.
Pihak swasta turut mainkan peranan kritikal untuk untuk menjayakan agenda MADANI menerusi kemahiran dan kepakaran yang dimiliki. Namun paling penting adalah tenaga kerja dalam kalangan rakyat sama ada pekerja, petani atau nelayan yang menunjukkan kesediaan menjadikan Malaysia negara hebat, terkenal dan dihormati.
Di sebalik kebersamaan ini, masih ada suara-suara dangkal yang cuba meremehkan usaha Kerajaan MADANI membersihkan negara daripada kebobrokan dan rasuah, hingga mereka yang merompak kekayaan negara diangkat dan dipuji, manakala pihak yang bersih dicerca.
Namun saya percaya dengan kebijaksanaan rakyat untuk melihat sendiri usaha-usaha Kerajaan MADANI dalam mengangkat martabat rakyat, antaranya memastikan gaji bermaruah kepada pekerja, mempertingkat khidmat kesihatan, memperkasa pendidikan dan menjaga kebajikan isi rumah dengan bantuan-bantuan berbilion ringgit.
Insya-Allah, Kerajaan MADANI bertekad untuk terus bekerja dan meningkatkan usaha membawa lebih banyak kejayaan dan kemakmuran untuk rakyat serta memastikan IMEJ NEGARA DIANGAKAT KE SEANTARIO DUNIA.