Lawatan Rasmi PM Anwar Diteruskan Ke Peru Hadiri Sidang Kemuncak APEC 2024

Kredit Harapan Daily

Sidang media Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan empat hari ke Mesir dan meneruskan lawatan rasmi ke Peru bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November. Foto Facebook Anwar Ibrahim

LIMA, 13 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Lima, Peru, esok dan menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan rasmi itu merupakan lawatan pertama Perdana Menteri ke rantau Amerika Latin sejak menjawat jawatan itu pada November 2022.

Pada lawatan itu, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra bagi membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Peru, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta industri halal dan mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki pesawat menuju ke Lima, Peru bagi menghadiri Sidang Kemuncak APEC 2024 setelah mengakhiri lawatan rasmi empat hari ke Mesir pada Selasa. Foto Facebook Anwar Ibrahim. 

Lima, ibu negara Peru dengan populasi 11.36 juta, akan menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016. Negara Amerika Selatan itu bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di utara dan Brazil di timur.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Peru dari Januari hingga Julai 2024 berjumlah RM1.16 bilion, meningkat 36.3 peratus daripada RM847.7 juta dalam tempoh yang sama pada 2023.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berada di Peru bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 pada 14 hingga 16 November dan akan dianugerahkan pingat tertinggi Peru, “El Sol del Peru”. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan semasa di forum serantau dan pelbagai hala, khususnya ASEAN dan APEC, serta akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman,” menurut kenyataan Wisma Putra itu.

Anwar juga akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC Dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), pada 15 November.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dijangka akan membuat Pencelahan Malaysia semasa Sesi Pemukiman Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) pada 16 November.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan rasmi empat hari ke Mesir dan meneruskan lawatan rasmi ke Peru bagi menghadiri Sidang Kemuncak APEC 2024 di Peru. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya daripada Ekonomi APEC yang lain.

Sepanjang lawatan beliau, Perdana Menteri akan berkongsi keutamaan-keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua.

Malaysia adalah satu daripada 12 ekonomi pengasas APEC.

Oleh itu, penyertaan aktif Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC mencerminkan komitmen berterusan Negara dalam memajukan kerjasama ekonomi, mempromosikan kesejahteraan bersama, dan mendorong pembangunan inklusif di seluruh rantau Asia Pasifik.