SOKONG KERANA AMBIL DARI YANG TIDAK SEPATUTNYA DAPAT

 



1. Saya sokong subsidi bersasar dalam apa jua sektor, apatah lagi pemansuhannya terhadap warga asing. 


2. Pengumuman penarikan subsidi RON95 dan subsidi pendidikan terhadap golongan T15 sangat merunsingkan ketika mana pengkelasannya tidak jelas dan ramai yang cenderung untuk merujuk jadual pembahagian pendapatan yang sedia ada.


3. Semalam YB Rafizi Ramli mengatakan bahawa pengkelasan pendapatan akan disemak semula supaya ia lebih ada, dengan mengambilkira pendapatan bersih atau pendapatan boleh guna isi rumah. Ini berita yang agak melegakan. PADU tak berbunyi lagi setakat ini. Benarkah padu sistemnya? 


4. Kerajaan Perpaduan harus sangat berhati-hati dengan pengkelasan T15 kerana pada masa ini ia berada dalam julat RM13500-RM15000 sebulan, pendapatan isi rumah. Bermaksud ia adalah jumlah pendapatan sepasang suami isteri pegawai kerajaan bergred 44-52. Mereka ini kebanyakannya berada dalam fasa membesarkan anak-anak dan menguruskan keluarga, bukan berjoli katak. 


5. Ini bermakna beratus ribu penjawat awam akan terkesan dengan penyasaran subsidi ini. Atau setidak-tidaknya, 400,000 guru akan terasa keperitannya, sedangkan mereka bukanlah termasuk dalam golongan 'Maha Kaya' yang sedang digempur oleh kerajaan ini. Bersediakah kerajaan berhadapan dengan golongan ini yang bakal berduka cita dan barangkali menterjemahkan isi hati mereka di kertas undi nanti? Mengapa tidak dalam peringkat awal ini, sasarkan warga asing sahaja dulu? 


6. Apa yang kayanya mereka ini? Keretanya sekadar Avanza, Estima recond, X70, Camry 9 tahun, Cross, Honda HRV, atau Alza baharu. Tak ada yang bergaya dengan Audi atau BMW. Kalau ada pun kereta second hand atau mereka itu ada bisnes sampingan lain. Makannya bukan di 'coffee house' hotel atau restoran 'fine dining'. Paling mewah pun mereka ini waktu keraian, sesekali makan Me'nate atau  bawa anak-anak ke Kenny Roger's. Melancongnya pun sendiri-sendiri, paling kuat secara bajet ke Thailand, Vietnam atau Indonesia. Nak ke umrah pun himpun duit bertahun-tahun. Bukan ikut suka hati bak pergi bila-bila masa. Beli pakaian pun menunggu masa-masa perayaan supaya dapat diskaun. 


7. Sikap dan pendekatan kerajaan tidak mesra kepada golongan ini yang setiap kali belanjawan dibentangkan, merupakan segmen paling terabai. Sedangkan merekalah faktor utama bagi menerus dan menjana ekonomi bawahan dalam negara ini. Kalau 'maha kaya', mereka berbelanja di luar, barangan pun pakai import-importan.


8. Ramai juga yang berhujah, kerajaan ini tidak populis dan rela kehilangan undi demi masa depan negara. Eh, bukankah kuasa diperlukan untuk melakukan perubahan dan kebaikan? Jika anda jatuh nanti, siapa yang nak meneruskan banyak lagi agenda reformasi yang diimpikan? Takkanlah nak lari tinggalkan separuh jalan?


9. Jika dalam tempoh dua tahun pun banyak yang sudah dipulihkan, maka gabungan kerajaan ini wajar terus berfungsi. Tetapi jika dasarnya terlalu 'bermusuhan' dengan golongan menengah yang menjadi pengundinya, bagaimana nak terus berkhidmat dan mengangkat martabat negara ini?


10. Harapnya kerajaan perpaduan ini bertindak bijak dan berfikir jauh. Yang dlgempur dan disindir itu juga adalah warga Malaysia yang berkorban demi negara ini. Biarlah segala tindakan kerajaan ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berserak.


#shmkritiksosial


-Sahul HM-