Universiti perlu kemuka idea baharu bangunkan pendidikan negara







Oleh: Helmi Mohd Foad



Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberi kelonggaran untuk mengemukakan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Perdana Menteri berkata, perkara itu penting bagi memastikan pusat pengajian tinggi negara dapat bersaing di peringkat serantau dan dunia sekali gus melahirkan mahasiswa berdisiplin dan berkualiti tinggi.



"Kementerian Pendidikan Tinggi hanya harus selaraskan (program) bagi mengelakkan apa-apa pertindihan atau permasalahan tapi beri lebih banyak ruang kepada unversiti, lihat lebih banyak program yang lebih baik, kalau tidak kita ubah kepimpinan (IPT)," katanya ketika berucap pada program Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini.



Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Perdana Menteri berkata mahasiswa di negara ini juga perlu bersungguh-sungguh menimba ilmu termasuk melakukan kajian lebih berkualiti.



Jelas beliau berdasarkan pengalamannya menjadi tenaga pengajar termasuk menjadi felo pelawat di beberapa universiti di luar negara, golongan mahasiswa di Barat mempunyai disiplin pembelajaran yang tinggi.

"Saya tidak fikir kita boleh bersaing dalam dunia pendidikan, melawan China, Taiwan, Finland dan negara lain, kalau mahasiswa tidak memiliki disiplin yang tinggi," katanya.



Anwar turut menyeru golongan pemikir, intelek dan ahli akademik untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam memperbaiki kelemahan negara serta mengangkat martabat anak-anak muda dalam pembelajaran.



"Pokoknya dalam kalangan pemikir bangsa, keutamaannya adalah menggunakan ruang perbaiki kelemahan kita, keutamaan kita mendidik anak-anak kita supaya dalam masa lima enam tahun, mereka bersaing dengan yakin dengan negara-negara maju di dunia ini," katanya.



Beliau turut mahu penggunaan bahasa Melayu diutamakan dalam pengajaran dan pembelajaran di IPT namun dalam masa sama menekankan kepentingan menguasai bahasa Inggeris.

 

 

No comments: