PM doakan proses pengundian awal lancar


 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini akan berjalan lancar.


"Saya doakan mudah-mudahan ini (undi awal) dapat dijalankan dengan lancar, dengan niat yang baik untuk menyelamatkan negara, menjamin kestabilan politik supaya khidmat kepada rakyat dapat disempurnakan dengan baik.


"Tujuan undi awal ini untuk memastikan pasukan keselamatan dapat membantu mengawal supaya proses pilihan raya pada 12 Ogos ini (Sabtu) akan berjalan aman dan lancar," katanya dalam perkongsian di Facebook


97,388 individu terdiri daripada anggota dan pegawai ATM dan PDRM bersama pasangan masing-masing dilapor akan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian awal PRN di enam negeri.


Pengundian awal turut membabitkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun yang membatalkan kemenangan calon PAS Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.


Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023.


Ia menyaksikan seramai 49,660 anggota ATM dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing, akan mengundi di 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal bagi PRN.


PRK Kuala Terengganu pula akan membabitkan pengundi awal yang terdiri daripada 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan dengan empat pusat mengundi awal dibuka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu.