Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan agar tidak menambah perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan logo dan tema yang berbeza pada sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Angkatan Muda KEADILAN Malaysia dalam satu kenyataan hari ini
menolak sikap berkonfrantasi yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda PN, Ahmad
Fadhli Shaari semalam yang mahu 4 negeri ditadbir PN menggunakan logo dan tema
yang berbeza.
"Langkah Pemuda PN yang melancarkan logo dan tema yang
berlainan daripada yang diumumkan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menunjukkan
sikap kurang patriotik PN, malah bertentangan dengan matlamat sambutan Hari
Kemerdekaan yang bersandarkan semangat federalisme.
"Tambahan pula, penggunaan warna tema PN terhadap logo
tersebut juga menzahirkan sikap berpuak-puak Perikatan Nasional secara melampau
yang mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan negara," kata
kenyataan itu.
PN diharap tidak mengamalkan semangat yang bertentangan dengan
kerajaan pusat dan sentiasa mewujudkan hubungan baik antara negeri dan
Persekutuan bagi melancarkan pembangunan demi rakyat di Perlis, Kedah, Kelantan
dan Terengganu.
"PN digesa menghentikan konfrontasi yang berpanjangan antara
negeri-negeri yang ditadbirnya dengan Kerajaan Persekutuan dan tidak terus
menyimbah minyak ke api yang marak tatkala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim menghulurkan tangan untuk memaut semula tali silaturrahim dengan semua
pihak pasca pilihan raya negeri.
"Alangkah rugi sekiranya niat baik Perdana Menteri ini tidak
disambut oleh Perikatan Nasional jika mereka memilih untuk terus berkonfrontasi
dengan Kerajaan Persekutuan sekali gus menafikan semangat federalisme sehingga
menggadai kepentingan rakyat," kata kenyataan itu lagi.
Tahun ini Kerajaan Perpaduan menggunakan tema sambutan Hari
Kebangsaan "Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan" sebagai
cogankata sambutan peringkat kebangsaan, negeri dan wilayah.