PINDAH KE SUNGAI BULOH, KJ TANDING TIMBALAN PRESIDEN UMNO?



Serentak dengan meningkatnya petunjuk akhir-akhir ini bahawa Hishammuddin Hussein bakal menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti tahun depan, Khairy Jamaluddin pula menyusul dengan tindakan menukar keahliannya daripada UMNO Bahagian Rembau ke Sungai Buloh.


Dengan pertukaran keahlian itu, bermakna Khairy atau KJ turut kehilangan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang disandangnya sekarang.


Ketua UMNO Bahagian Rembau ketika ini ialah Mohamad Hasan yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO serta baru-baru ini dilantik sebagai Menteri Pertahanan.


Pada PRU15 lalu, KJ yang telah menjadi Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal telah tidak diberi kerusi untuk bertanding sehingga beliau terpaksa berusaha sendiri mencari kerusi untuk dirinya dengan mendapat laluan daripada MIC untuk bertanding di Sungai Buloh.


Beliau bagaimanapun tewas di Sungai Buloh kepada calon PH, R Ramanan dengan kekurangan undi sebanyak 2,693.


Kerusi Rembau sebaliknya ditandingi oleh Mohamad Hasan yang lebih awal daripada itu meminta kepada KJ agar memberi laluan kepada bertanding di kerusi itu.


Berikutan telah berpindah ke Sungai Buloh, walaupun KJ memberitahu asasnya ialah untuk menunjukkan beliau tidak lari daripada kawasan itu setelah kekalahannya, perkiraan bekas Menteri Kesihatan tersebut barangkali lebih jauh ke depan daripada itu.


Ia bukan saja menunjukkan kemungkinan KJ bakal mengetuai UMNO Sungai Buloh selepas ini, malah merupakan isyarat kemungkinan beliau bergandingan dengan Hishammuddin dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi parti pada awal tahun depan.


Untuk KJ mengambil alih teraju kepimpinan UMNO Sungai Buloh dirasakan tidak berdepan banyak masalah kerana Ketua UMNO Sungai Buloh ketika ini adalah Megat Firdouz Megat Junid iaitu bekas Setiausaha Politiknya.


Secara logiknya, jika KJ tidak ada perancangan untuk bertanding jawatan tertinggi parti, tiada keperluan pun untuk beliau berpindah bahagian ke Sungai Buloh.


Beliau boleh saja terus kekal di Bahagian Rembau yang ketika ini diketuai oleh Mohamad Hasan atau Tok Mat.


Sebelum PRU15 lalu, KJ ada mengeluarkan kenyataan sekiranya Ismail Sabri Yaakob terus kekal sebagai Perdana Menteri, Ahli Parlimen Bera itu hatus diangkat sebagai Presiden UMNO, manakala bagi jawatan Timbalan Presiden, beliau akan berunding dengan Hishammuddin untuk mencapai kesepakatan siapa yang harus menduduki jawatan tersebut.


Oleh kerana Ismail Sabri tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tentunya tidak munasabah untuk terus menonjolkan beliau bertanding jawatan Presiden UMNO.


Memandangkan kebelakangan ini Hishammuddin telah memberi isyarat dan memperlihatkan minat yang ketara untuk bertanding jawatan Presiden UMNO menentang Zahid Hamidi, tidak dinafikan gandingan yang paling sesuai bersamanya adalah KJ.


Sebelum ini, Hishammuddin dan KJ pernah bergandingan memimpin Pemuda UMNO sebagai Ketua dan Naib Ketua pergerakan tersebut.


Kiranya gandingan itu menjadi kenyataan sekali lagi, ertinya perpindahan KJ ke Sungai Buloh bukan saja untuk beliau bertanding salah satu jawatan tertinggi dalam pemilihan UMNO tahun depan bergandingan dengan Hishammuddin, malah untuk beliau menentang Tok Mat, bekas bossnya sendiri dalam Bahagian Rembau bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO.


Kalau dalam PRU15 lalu tempat KJ di Parlimen Rembau diambil alih oleh Tok Mat, apakah kali ini giliran KJ pula untuk mengambil alih jawatan Timbalan Presiden UMNO daripada Tok Mat? - ShahbudinHusin 28/12/2022.



No comments: