Agensi
Mac 13, 2021
Sarl Novovision telah mengajukan saman terhadap Rina menuntut agar hutang itu dibayar sebelum atau pada 31 Julai 2019. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun enggan memberikan sebarang komen berkaitan pelunasan hutangnya kepada sebuah syarikat produksi Perancis.
Portal The Star hari ini melaporkan, Ahli Parlimen Titiwangsa itu hanya memberi reaksi 'biar yang lain jawab' tanpa mengulas lanjut.
Rina diminta mengulas laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda DAP, Jenny Choy yang mempersoalkan sumber kekayaannya dalam menyelesaikan hutang tersebut.
Choy telah membuat laporan itu di ibu pejabat SPRM Perak pada 18 Februari.
Ia susulan syarikat produksi Perancis, Sarl Novision melalui peguam, Mark Ho memaklumkan Rina telah menjelaskan jumlah hutang awal bulan lalu.
Sarl Novovision sebelum ini telah mengajukan saman terhadap Rina pada 8 November 2018, menuntut agar hutang itu dibayar sebelum atau pada 31 Julai 2019.
Rina, melalui beberapa syarikatnya yang tidak lagi beroperasi iaitu Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd dilaporkan membeli beberapa rancangan komedi dan dokumentari bernilai jutaan ringgit dari syarikat produksi yang berpusat di Paris itu antara 2011 dan 2013.
Kesemua syarikat tersebut ditutup antara Disember 2013 dan Ogos 2015.