Ahli Parlimen PKR lompat parti, apa maksud ciapan Azmin?

 


Firdaus Azil
Ahli Parlimen PKR lompat parti, apa maksud ciapan Azmin?
Ciapan Menteri Kanan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Datuk Seri Azmin Ali menguatkan lagi tanggapan kemungkinan ada Ahli Parlimen Pembangkang yang akan melompat parti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan keluar parti, beberapa lagi ahli Parlimen dari blok Pembangkang dijangka akan melakukan perkara yang sama.
Antara yang menyatakan pandangan itu ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.
Namun, ciapan Menteri Kanan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Datuk Seri Azmin Ali menguatkan lagi tanggapan tersebut.
“1+1+1+...... dan seterusnya. Alhamdulillah. Kekal tenang,” kata Ahli Parlimen Gombak itu ringkas.

Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon, dan Ahli Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien, meninggalkan PKR.
Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini mendakwa terdapat penyalahgunaan agensi-agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Dari segi prinsip, kami menyokong sebarang tindakan yang berlandaskan hukum dan undang-undang.
"Tetapi sebarang penyalahgunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik langsung tidak boleh diterima," jelas kenyataan itu.
Malah, jelas Pakatan Harapan, tindakan itu dipercayai telah dilakukan terhadap ramai Ahli Parlimen Pembangkang termasuk Lim Guan Eng dan isteri, Larry Sng, Steven Choong, dan kini secara tidak langsung terhadap Datuk Dr Xavier Jayakumar,” menurut kenyataan itu lagi.
Namun SPRM dalam kenyataan susulan menafikan sekeras-kerasnya tohmahan daripada gabungan beberapa parti politik kononnya agensi penyiasatan itu dijadikan 'senjata politik' dalam melaksanakan tindakannya.
Menerusi satu kenyataan media pada 6 Mac, SPRM turut menegaskan bahawa agensi penyiasatan itu bebas dan sentiasa memastikan tindakannya berlandaskan undang-undang.
Turut membuat penafian ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang tegas mengatakan ia adalah sebuah agensi utama pemungut hasil negara, dan kekal komited menjalankan amanah yang diberikan tanpa rasa bimbang atau pilih kasih.
Pada 7 Mac lepas, Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail, juga dari PKR, telah membuat laporan kepada SPRM berhubung cubaan pihak tertentu untuk mendapatkan sokongannya terhadap Perdana Menteri.
"Kejadian itu berlaku pada 3 Mac lepas dan melibatkan dua individu termasuk seorang yang bergelar Datuk Seri," menurutnya dalam satu kenyataan.
Natrah berkata, laporan itu dibuat berdasarkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 berhubung kewajipan melaporkan tawaran suapan dan berharap SPRM akan dapat menyiasat perkara tersebut dengan segera.



No comments: