BOB KELANANG
Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim mempersoalkan mengapa
kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperlakukan rakyat seperti musuh dengan
mewartakan Ordinan Darurat yang bertujuan memerangi "berita palsu"
berkaitan Covid-19.
"Kita laksanakan Darurat ini untuk menangani Covid-19,
itulah yang dikatakan kerajaan. Oleh itu, jika Covid-19 adalah musuh, mengapa
bertindak seolah-olah rakyat adalah musuh?" kata Zaid dalam wawancara
dengan Malaysiakini di kediamannya di Petaling Jaya hari ini.
Kerajaan persekutuan semalam dilapor mewartakan Ordinan Darurat
untuk memerangi "berita palsu" yang berkaitan dengan Covid-19 atau
perisytiharan darurat.
Ini akan membolehkan kerajaan memiliki kuasa yang besar dan
memberikan implikasi terhadap kebebasan akhbar.
Ordinan itu yang berkuatkuasa pada 12 Mac, menyatakan mana-mana
pihak yang "mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan,
mengelilingkan atau menyebarkan" berita tidak benar dalam bentuk rencana,
visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.
Ordinan ini juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk
memerintahkan berita yang diputuskan sebagai "berita palsu" untuk
dipadamkan dan jika gagal mahkamah boleh mengarahkan polis atau pihak berkuasa
untuk mengambil "langkah-langkah yang perlu" untuk menghapuskan
berita tersebut.
'Google, FB pun sukar pastikan berita palsu'
Zaid berkata sedangkan syarikat teknologi gergasi seperti Google
dan Facebook menghadapi kesukaran bagi menentukan apakah sesuatu berita adalah
palsu di platform mereka, apatah lagi rakyat biasa.
Oleh itu, katanya, peluang perlu diberikan kepada mana-mana
pelaku untuk menarik balik kenyataan mereka yang ditentukan sebagai palsu.
"Seharusnya tidak menjadi kesalahan jika tiada apa yang
palsu yang disengajakan yang mengganggu kepentingan umum," tambahnya.
Selain itu, kata Zaid, ada cara lain yang lebih baik bagi
menangani masalah "berita palsu" berbanding dengan pelaksanaan
hukuman.
"Kamu boleh periksa fakta, ajar literasi kepada orang ramai
mengenai apa yang boleh dibaca dan apa yang harus dipercayai.
"Perlukan pengetahuan mengenai perkara ini, jadi kita mesti
keluarkan belanja untuk didik orang ramai.
"Inilah yang akan dilakukan oleh kerajaan yang peduli,
berbanding melihat mereka (rakyat) sebagai musuh," katanya.