Majlis Presiden PH henti perbuatan keluar parti komponen untuk masuk parti komponen lain

 

Ketua Penerangan Amanah Khalid Samad berkata, Majlis Presiden PH memutuskan mana-mana wakil rakyat dalam komponen PH yang mahu melompat parti dan menyertai parti lain, tidak akan diterima lagi sebagai ahli.

SHAH ALAM: Ahli Parlimen dan Adun parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang keluar parti untuk menyertai parti lain dalam gabungan akan diiktiraf sebagai wakil rakyat bebas mesra PH.

Menurut Ketua Penerangan Amanah Khalid Samad, Majlis Presiden PH memutuskan mana-mana wakil rakyat dalam komponen PH yang mahu melompat parti dan menyertai parti lain, tidak akan diterima lagi sebagai ahli.

“Sememangnya tidak wajar dibenarkan atau diterima ahli parti rakan menjadi ahli parti, lebih-lebih lagi bila sudah menjadi ADUN.

“Kalau mereka bertegas mahu keluar, maka apa yang dilakukan adalah menjadikan mereka sebagai ADUN bebas, tetapi menyokong PH”, kata beliau

Sebelum ini difahamkan wujud persetujuan di antara parti komponen PH untuk tidak menerima ahli sesama sendiri yang keluar parti masing-masing.

Namun, ini tidak menghalang parti komponen gabungan itu menerima mereka.

Baru-baru ini tiga wakil rakyat Amanah Johor bertindak keluar parti untuk menyertai PKR.

Mereka ialah ADUN Senggarang, Khairuddin Abdul Rahim, ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Khairuddin dilaporkan berkata, permohonannya untuk menyertai PKR dihantar Oktober lalu dan keputusannya untuk melompat parti dibuat kerana mahu bertanding di kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Khalid bagaimanapun mengakui Amanah kerap memberi penekanan kepada ahli dan wakil rakyatnya supaya terus setia dengan PH.

“Kita ingat bila sudah sertai Amanah, mereka juga mestilah setuju dengan dasar dan perjuangan Amanah dan sebagainya. Kita lebih beri penekanan soal setiakawan. Malangnya penekanan untuk parti sendiri kurang diberi,” katanya kepada FMT.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata, Amanah sudah menyelidik apakah sebab wakil rakyatnya bertindak keluar parti dan menyertai parti komponen PH.

Menurutnya, ia berlaku akibat perselisihan faham antara ADUN berkenaan dengan ketua atau pengerusi parti di peringkat kawasan.

“Ia berlaku selepas pemilihan parti, apabila ada yang tidak bersependapat dengan ketua kawasan atau pengerusi negeri,” katanya.

Khalid bagaiamanapun berkata, beliau sendiri secara peribadi tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam isu ini, namun percaya Amanah sudah tersilap memilih calon semasa pilihan raya umum ke-14 lalu dan akan memperbaikinya pada masa hadapan.

“Kami anggap kami tersilap dari segi pemilihan calon kerana kita perlukan orang yang bersifat amanah, bukan sekadar kepada pengundi, tetapi juga terhadap parti.

“Dia dimenangkan oleh pengundi dan dia menang atas nama PH, jadi mereka ini rasa tidak khianat pengundi serta tidak ada masalah.”

Tambah Khalid, tidak perlu culik-menculik atau mempelawa ADUN partinya masuk ke parti lain, kerana ia boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan.

“Saya juga nasihatkan kepada ADUN yang tinggalkan Amanah, ingat kembali bahawa khianat itu bukan sekadar khianat kepada rakyat yang mengundi, tetapi khianat kepada parti yang memilih sebagai calon.

“Jadi ia adalah satu perkara tidak berakhlak yang dilakukan,” katanya.

Ketika ditanya apakah persediaan Amanah khususnya dalam usaha menawan hati pengundi Melayu di kawasan luar bandar yang sebelum ini dilihat berjaya dikuasai PAS dan Umno, Khalid berkata, ia bukanlah perkara yang mudah dilakukan memandangkan dua parti itu sudah berakar umbi di kawasan berkenaan.

“Untuk Amanah sebagai parti baru memecahkan keadaan ini amat sukar, bukan sahaja di Pantai Timur, yang mana PAS dan Umno jauh lebih mantap dan berakar umbi, malah di Selangor juga.

“Masjid dan surau masih lagi sebahagiannya dikuasai orang PAS dan kami dilemparkan dengan tuduhan merupakan alat DAP.

“Untuk pecahkan keadaan ini bukannya mudah, tetapi ikita yakin dalam pilihan raya umum akan datang, sokongan kepada Amanah dapat dipertingkatkan.

“ini kerana kita lihat sokongan untuk PAS dan Umno semakin berkurangan,” katanya.

Bagi Khalid, berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-14, PAS kurang berpengaruh di negeri Pantai Barat, khususnya Selangor Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, namun masih kukuh di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

“Secara amnya, PAS sudah hilang kedudukan di Selangor, yang dahulu mempunyai begitu ramai ADUN dan Ahli Parlimen.

“Masyarakat sudah tidak lagi bersama PAS, hanya masih ada pengaruh di Kedah dan di Pantai Timur ,” katanya.