PETALING JAYA: Badan wartawan antarabangsa terbesar dunia membantah Ordinan Darurat terbaharu yang menetapkan denda sehingga RM100,000 untuk berita palsu, sekali gus mendesak kerajaan menarik balik undang-undang tersebut.
Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), yang mewakili lebih daripada 600,000 wartawan di 140 negara, berkata peraturan itu adalah “ancaman besar” terhadap kebebasan media.
Ia turut meminta kerajaan menjelaskan motif sebenar pelaksanaan undang-undang itu, sekiranya ia tidak bertujuan untuk menyekat suara media.
“Ia adalah penyalahgunaan kuasa darurat Covid-19 oleh kerajaan Malaysia untuk melaksanakan undang-undang yang akan menyekat hak masyarakat untuk mengetahui dan mengancam kemampuan wartawan untuk melaporkan secara bebas dan adil.
“IFJ dan sekutunya, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (Semenanjung Malaysia) mengutuk sekeras-kerasnya keputusan untuk melaksanakan ordinan berita palsu baharu itu sebagai ancaman besar terhadap kebebasan media dan menyeru ia segera ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam media melaporkan bahawa mereka yang menghasilkan, menerbit atau menyiarkan berita palsu boleh didenda sehingga RM100,000, hukuman penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya di bawah ordinan darurat baharu.
Mereka yang membayar untuk menghasilkan berita palsu itu akan dikenakan hukuman yang lebih berat, dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara enam tahun, atau kedua-duanya.
Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 mendefinisikan “berita palsu” sebagai berita atau maklumat yang “adalah sepenuhnya atau sebahagiannya salah berkaitan dengan Covid-19 atau pengisytiharan darurat”.
Ia mengundang kritikan ahli politik, kumpulan media dan peguam, yang menyatakan kebimbangan pelaksanaan ordinan itu akan menyekat hak dan kebebasan awam untuk bersuara.