Pimpinan dan ahli AMANAH diseru bekerja lebih kuat selepas PKP tamat

Pimpinan dan ahli AMANAH diseru bekerja lebih kuat selepas PKP tamat

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, menyeru seluruh pemimpin dan ahli parti agar mempersiapkan hujah bagi mengharungi tugas lebih berat bermula 28 April ini.
Beliau berkata, bermula dari tarikh tersebut, seluruh ahli AMANAH perlu kembali melaksanakan tugas siasah dengan lebih kuat lagi dan memperkasakan strategi penerangan.
Katanya, rakyat perlu terus diingatkan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini bukan diperolehi melalui mandat rakyat, tetapi melalui pintu belakang.
“Ketika berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, pemimpin AMANAH diserang habis-habisan, dimaki dan dicerca termasuk dilabel munafik oleh parti Islam khususnya dalam isu meluluskan Akta 355 di Parlimen.
“Namun sekarang ini, parti Islam yang menghentam AMANAH itu, kini sudah ditampuk kuasa walaupun melalui pintu belakang.
“Maka tugas untuk membawa dan meluluskan Akta 355 kini menjadi tanggungjawab parti Islam dan tentunya ia menjadi lebih mudah kerana mereka adalah sebahagian daripada kerajaan,” katanya sambil mengingatkan kepimpinan dan ahli parti agar menyiapkan hujah.
Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau hari ini.
Dalam kenyataan sama, Mohamad Sabu turut memuji disiplin yang ditunjukkan oleh pemimpin dah ahli parti sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, beliau dapat melihat barisan pemimpin dan anggota AMANAH di segenap peringkat umumnya, mematuhi arahan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dengan baik.
“Saya lihat masing-masing memainkan peranan bagi memastikan wabak Covid-19 ini dapat dihentikan.
“Bermula daripada peringkat Nasional, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Pemuda AMANAH Nasional, Wanita Muda Amanah (WARDA), negeri, kawasan sehinggalah ke cawangan, semuanya memainkan peranan.
“Syabas dan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua termasuk pasukan Amal Relief (ARiF) dan aktivis parti, yang bertungkus-lumus membantu masyarakat dan golongan memerlukan, khususnya di negeri-negeri yang bukan diperintah oleh PH,” katanya lagi.

No comments: