Dana Jaminan Makanan RM1 bilion mesti diguna bantu petani

Dana Jaminan Makanan RM1 bilion mesti diguna bantu petani

PKR kesal dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang didakwa kurang serius dalam usaha membantu petani selepas pekebun kecil masih melakukan penghapusan tanaman dan sayur-sayuran untuk mengelakkan kerugian.
Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung mendakwa dana sebanyak RM1 bilion bagi tujuan dana jaminan makanan yang diperuntukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin, sama sekali tidak digunakan sepenuhnya.
Menurutnya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membeli hasil tani daripada 1,098 petani yang berdaftar dengan nilai hanya RM 6.65 juta berdasarkan statistik kementerian itu sehingga 18 April lalu.
“Ini bersamaan dengan 4,292 tan metrik hasil pertanian sahaja. Pembelian ini amat sedikit berbanding dengan dana yang diperuntukkan.
“Setakat ini, tiada pengumuman daripada Menteri ataupun dua Timbalan Menterinya mengenai pelan tindakan menggunakan Dana Jaminan Makanan bernilai RM1 bilion yang diumumkan.
“RM6.65 juta itu sekadar 0.6 peratus daripada jumlah peruntukan dana jaminan makanan. Maksudnya, kerajaan cuma memperuntukkan purata RM220,000 sehari membeli hasil pertanian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 27 Mac lalu mengumumkan peruntukkan sebanyak RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan sepanjang tempoh kritikal PKP.
Kata Muhyiddin, kerajaan akan terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani, penternak dan nelayan termasuk dalam bentuk bantuan input pertanian, ternakan dan perikanan untuk menggalakkan pengeluaran domestik.
Sehubungan itu, Chean Chung menuntut supaya kerajaan serius memberikan perhatian terhadap nasib petani khususnya pekebun-pekebun kecil sepanjang tempoh kritikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata, PKP memberi kesan kepada rantaian bekalan yang menyebabkan hasil pertanian tidak dapat dijual kepada pihak pengguna.
Kesannya katanya, terdapat petani yang terdesak sehingga terpaksa memusnahkan hasil tanaman mereka dan mengurangkan hasil tanaman pada musim akan datang untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar.
“Sehubungan itu, matlamat kerajaan menjamin keselamatan makanan tidak tercapai kerana tindakan pengurangan hasil tanaman petani kemungkinan menyebabkan krisis pembekalan makanan dan harga naik bagi hasil tanaman.
“Agensi-agensi pertanian wajar mencari dan menghubungi mereka untuk membeli sebanyak mungkin hasil tanaman yang dikeluarkan,” gesanya.
Menurutnya, kerajaan juga boleh menggerakkan kenderaan pengangkutan milik kementerian terbabit untuk mengatasi kekangan rantaian bekalan.
Jelasnya, hasil tersebut boleh dibawa ke pasaran yang sesuai, ataupun menghantar hasil pertanian tersebut kepada golongan yang memerlukan bantuan seperti Orang Asli melalui penyelarasan dengan kementerian lain.


No comments: