APAKAH MUHYIDDIN AKAN PECAT MAHATHIR ATAU MAHATHIR MEMANG MAHU DIRINYA DIPECAT?



Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamad mengesahkan beliau akan duduk di barisan pembangkang dalam sidang Parlimen yang bermula 18 Mei depan.

Tun Mahathir menjelaskan, Bersatu kini sudah terpecah dua dan beliau yang tidak menyokong kerajaan tidak boleh duduk di barisan yang sama dengan kerajaan.

“Pihak yang menentang kerajaan tidak boleh duduk bersama dengan pihak kerajaaan.

“Jadi, ia harus duduk di kalangan pembangkang bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi bukan sebagai anggota PH,” katanya lagi.

Dengan keadaan ini, ia bukan saja meletakkan Tun Mahathir buat pertama kali duduk di barisan pembangkang di Parlimen dalam karier politiknya, tetapi juga menjadikan kedudukan Bersatu sesuatu yang unik.

Sementara Tun Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu duduk di barisan pembangkang, sebaliknya Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu pula duduk di barisan kerajaan sebagai Perdana Menteri.

Begitu pun, oleh kerana Tun Mahathir bukan merupakan ahli mana-mana parti dalam PH, keputusannya untuk duduk di barisan pembangkang tidak akan menjadikannya sebagai Ketua Pembangkang.

Dalam hal ini, PH hampir pasti akan mencalonkan Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson sebagai Ketua Pembangkang.

Namun demikian, tindakan Tun Mahathir memilih untuk duduk di barisan pembangkang dipercayai akan mengundang risiko kepada kedudukan dirinya sebagai ahli dan Pengerusi Bersatu.

Sumber yang dekat dengan Bersatu memaklumkan, dengan keputusan Tun Mahathir itu bermakna beliau sudah dianggap melanggar disiplin parti di mana sebelum ini Bersatu sudah pun membuat keputusan untuk meninggalkan PH untuk bersama-sama dengan PN membentuk kerajaan baru.

Sehubungan itu, kata sumber tersebut lagi, Lembaga Disiplin Bersatu yang dipengerusikan oleh Megat Najmuddin Megat Khas dijangka akan mencadangkan dalam waktu terdekat kepada parti agar tindakan disiplin diambil terhadap Tun Mahathir.

“Tindakannya mungkin dipecat atau digantung keahlian,” tambah sumber itu lagi.

Persoalan di sini, apakah Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Tun Mahathir akan turut memilih duduk di barisan pembangkang juga?

Jika mereka memilih duduk bersama pembangkang, bererti mereka juga mungkin akan diambil tindakan disiplin yang sama seperti Tun Mahathir iaitu sama ada dipecat atau digantung keahlian.

Dalam erti kata lain, kalau itu yang berlaku, semua mereka, termasuk Tun Mahathir dan Mukhriz akan terhalang dengan sendirinya daripada terlibat dalam pemilihan Bersatu yang dijangka diadakan selepas 30 Jun nanti.

Apakah ini bermakna Muhyiddin akan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu dan parti itu terus dikuasai sepenuhnya oleh beliau selepas ini?

Melihat situasi yang mungkin berlaku ini, apakah Tun Mahathir tidak sedar tentang risiko tindakan disiplin boleh diambil terhadapnya dengan keputusannya untuk duduk di barisan pembangkang itu?

Sebagai orang yang cukup masak dengan sepak terajang politik, bahkan juga banyak kali menang berbanding kalah dalam apa juga pergelutan kuasa sebelum ini, ternampak mustahil Tun Mahathir tidak sedar tentang risiko itu.

Jika begitu, apakah ini bermakna Tun Mahathir sengaja menunggu agar Muhyiddin mengambil sesuatu tindakan disiplin terhadapnya kerana beliau memang ada perancangan atau perangkap lain yang sedang dipasangnya terhadap Perdana Menteri?

Atau mungkinkah Tun Mahathir sekali lagi akan menubuhkan sebuah parti baru selepas beliau disingkirkan daripada Bersatu? (ShahbudinHusin 21/04/2020)

No comments: