Lantaran sudah bergelar menteri, tajuk buku yang bersusun di rak pun akan diteliti orang satu-persatu.
Itulah yang terjadi pada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein merangkap Naib Presiden Umno apabila berkongsikan gambar yang diambil dalam rumahnya.
Hasratnya mahu berkongsi detik perbincangannya dengan pemangku Perdana Menteri United Kingdom (UK), Dominic Raab, malam tadi seperti sudah memerangkap dirinya sendiri.
Bukan topik apa yang dibincangkan Hishammuddin dengan Raab yang juga Setiausaha Luar UK menerusi telefon itu mahu diketahui. Sebaliknya, sebuah buku bersusun secara menegak bertajuk Playboy yang menarik perhatian orang ramai.
“Baru selesai bercakap dari rumah melalui telefon dengan Setiausaha Luar merangkap Pemangku Perdana Menteri United Kingdom (UK), Dominic Raab.
“Perbincangan kami menumpukan tiga perkara utama – pendidikan, pelan rawatan Covid-19 dan ASEAN sebagai kelompok wilayah,” ciap Hishammuddin di Twitter malam tadi.
Walau bagaimanapun, ada pengguna media sosial yang memiliki penglihatan tajam membesarkan imej bagi mengenal pasti tajuk buku di belakang Ahli Parlimen Sembrong itu.
Ekoran pendedahan tersebut, ada yang menyindir begitu tertarik dengan buku yang menyamai nama majalah lucah Amerika Syarikat (AS) dan bertanyakan di mana boleh dibeli.
Bahkan, terdapat warganet yang ‘memuji’ Hishammuddin sebagai mantap sebelum diakhiri dengan emoji berguling-guling ketawa.
Tidak kurang juga menasihatkan bekas Menteri Pertahanan tersebut agar menyorokkan buku yang difahamkan edisi khas majalah lucah yang diasaskan mendiang Hugh Hefner itu.