Pulau Pinang kaji cadangan benar operasi restoran nasi kandar waktu sahur



MBPP akan mengkaji keperluan membenarkan retsoran nasi kandar dibuka pada waktu sahur dalam tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan mengkaji cadangan beberapa pengusaha nasi kandar di bahagian pulau untuk menjalankan operasi penghantaran makanan pada waktu sahur dalam tempoh perintah kawalan p0ergerakan (PKP) berkuat kuasa.
Datuk Bandar MBPP Yew Tung Seang berkata, perkara itu akan dikaji dengan lebih teliti dan mendalam berhubung keperluan pengusaha restoran nasi kandar untuk beroperasi pada waktu itu.
“MBPP akan kaji terlebih dahulu dengan pihak berkuasa seperti polis sama ada cadangan itu boleh diguna pakai ketika PKP,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, presiden Komuniti India Muslim Malaysia (IMCom) Mohd Rizwan Abdul Ghafoor Khan memohon MBPP supaya pertimbangkan cadangan itu kerana prihatin akan nasib pekerja kilang yang bekerja pada waktu malam dan golongan bujang yang tidak dapat keluar membeli makanan disebabkan PKP.
“Kami memohon waktu operasi pada waktu sahur selama 3 jam bermula 2.30 pagi hingga 5.30 pagi dan kami menggunakan perkhidmatan penghantar makanan, (dan tempahan makanan) dalam talian iaitu ‘Mr Runner’ yang boleh dimuat naik menerusi Google Apps Store yang akan dilancarkan minggu ini,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu juga bagi membantu petugas barisan hadapan, terutama yang bertugas pada waktu malam untuk membuat pesanan jika menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan makanan untuk sahur.

No comments: