Identiti Melayu Kampung Bharu akan dipertahankan Oleh: Nauza RF8 Media
Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memberi jaminan akan terus memartabatkan identiti kemelayuan dan keislaman di Kampung Baru.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad berkata, walaupun mahu dibangunkan, namun ciri-ciri khas penempatan orang melayu di tengah Kuala Lumpur yang telah berusia lebih 100 tahun akan dipelihara.
Selain itu tambahnya, untuk memastikan cita-cita itu dicapai, pihaknya merancang untuk menyediakan beberapa pembangunan khas seperti pusat persembahan Teater Melayu, projek Taman Warisan Melayu selain mengekalkan beberapa bangunan seperti Masjid Kampung Baru dan Kelab Sultan Sulaiman.
“Nama-nama jalan juga dikekalkan…penting bagi kita untuk membangunkan masyarakat Melayu di situ.
“Kita mahu bina satu kawasan penempatan orang Melayu yang moden, lengkap, sempurna, selesa dan tersusun,” katanya ketika menjadi tetamu program di TV1 Isnin malam.
Menyentuh isu pengambilalihan tanah di Kampung Baru, Khalid menegaskan bahawa ia kini berjalan seperti diharapkan.
Jelasnya, sehingga pertengahan tahun depan, kementeriannya akan melakukan pertemuan secara berkumpulan dengan pemilik dan pewaris untuk mendapatkan persetujuan serta menjelaskan tujuan kerajaan membangunkan Kampung Baru.
“Setakat ini kementerian telah menerima maklumat balas daripada 40 peratus penduduk Kampung Baru. Kita mahu memberikan penjelasan tepat kepada penduduk dan pewaris bahawa soal rampas tanah tidak timbul. Saya yakin tawaran yang diberikan adalah cukup baik,” katanya lagi.