Tg Piai: Banyak calon, majoriti kemenangan mungkin bawah 100 undi
Persaingan sengit 6 penjuru dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai mungkin menyaksikan majoriti undi pemenang kerusi di bawah 100 undi.
Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran, Pakatan Harapan (PH) hanya boleh mencatat kemenangan jika melakukan usaha kempen tidak mengenal penat ke seluruh kawasan dan menemui semua pengundi.
“Adalah sukar untuk meramalkan siapa pemenang PRK ini sebab terlalu ramai calon akan membelah-bahagikan undi.
“Namun begitu, saya ramalkan majoriti yang diperolehi oleh pemenang sangat tipis, mungkin kurang dari 100 undi. Oleh kerana terdapat ramai pencabar, calon PH mesti rajin menggiatkan usaha berjumpa setiap pengundi.
“Memang bukan mudah untuk PH mencapai kemenangan. Yang penting ialah calon mesti cuba meyakinkan pengundi bahawa Kerajaan PH akan terus berusaha memperbaiki kehidupan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Mengulas kajian yang mendapati banyak pengundi tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH, Manogaran berpendapat kehilangan undi mungkin berlaku sekiranya ketidakpuasan hati pengundi tidak ditangani dengan janji-janji yang realistik terhadap usaha pembangunan atau pembaharuan di kawasan tersebut.
“Kerajaan PH mesti memberi satu halatuju yang jelas untuk masa depan negara tetapi ini belum lagi dilakukan. Ini mungkin akan menyebabkan pengundi rasa kurang yakin dan justeru itu mereka akan memberi isyarat ‘bantahan’ kepada PH dengan undi kepada calon lain.
“Soalan yang perlu ditanya sekarang ialah: Adakah calon PH boleh meyakinkan para pengundi perihal isu masa depan rakyat dan negara?” tanyanya.
Cabaran di Parlimen Tanjung Piai diwakili oleh Karmaine Sardini dari PH berusia 66 tahun. Beliau dicabar oleh Wee Jeck Seng dari BN dan empat calon lain: Wendy Subramaniam, 38 tahun dari parti Gerakan, Badhrulhisham Abdul Aziz, 55 tahun dari Berjasa dan 2 calon Bebas Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 45 tahun dan Ang Chuan Lock, 49 tahun.