MASIH ADAKAH MARUAH KONGRES MARUAH MELAYU ESOK?



Esok akan berlangsung Kongres Maruah Melayu di Shah Alam yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebagai pemberi amanatnya.

Walaupun kongres tersebut dianjurkan oleh empat universiti, tetapi dalang di belakang tabirnya ialah beberapa bekas pemimpin UMNO yang telah melompat parti menyertai Bersatu.

Menurut sumber, mesyuarat awal berkaitan kongres itu mula-mula dipengerusikan oleh Mustapha Mohamad, Ahli Parlimen Jeli, sebelum kemudian diambil alih oleh Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen Larut.

Kedua-dua mereka ini adalah bekas menteri UMNO yang hilang jawatan setelah tumbangnya BN pada PRU14 lalu dan barangkali kerana tidak ada keselesaan hidup sebagai pembangkang, lantaran biasa sebagai kerajaan yang percuma di sana sini, lantas mereka kemudian menyertai Bersatu.

Dalam hal ini, soalan pertama, di mana maruah Kongres Maruah Melayu ini jika dalang di belakang tabirnya pun dianggap tidak bermaruah dari segi politik?

Menggunakan nama universiti pula, selain untuk melindungi wajah dalang sebenar agar rakyat dapat dikaburi, tujuan lainnya ialah untuk memastikan dewan dipenuhi dengan hadirin yang ramai jumlahnya.

Sudah tular di media sosial berkenaan arahan wajib hadir kepada penuntut di universiti berkenaan menghadiri kongres tersebut, malah disebut juga kehadiran mereka akan turut diambil pada esok hari.

Oleh itu, bukan berapa ribu orang yang hadir ke kongres itu yang menjadi penantian pada hari esok, sebaliknya berapa ratus buah bas yang akan didapati bersusun di sekitar Stadium Malawati itu?

Jadi, soalan kedua, apa bendanya nak bincang soal maruah Melayu kalau yang hadir pun terpaksa diangkut, bahkan dipaksa dan mungkin perlu diberi sedikit wang saku?

Selain itu, kongres esok tidak lain ialah untuk membodek Tun Mahathir dengan gambaran menakut-nakutkan beliau kesan daripada penyatuan ummah UMNO dan Pas, baru-baru ini.

Oleh kerana difahami yang akan mati dulu dalam PRU akan datang akibat penyatuan ummah UMNO dan Pas ini ialah Bersatu, maka sudah tentu Tun Mahathir mudah ditakut-takutkan.

Ditambah lagi, beliau juga diburu masa yang semakin suntuk untuk akur kepada janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim yang sudah dipersetujuinya sebelum ini, di samping sokongan rakyat yang makin merosot di terimanya kebelakangan ini atas pelbagai isu serta pendiriannya yang berbolak-balik membuatkan ramai lagi jadi kecewa.

Dengan itu, tidak pelik jika antara resolusi kongres esok ialah mahukan Tun Mahathir terus kekal sebagai Perdana Menteri dengan lebih lama lagi dengan alasan beliaulah sandaran untuk membela nasib Melayu.

Tempoh lebih lama Tun Mahathir berkuasa yang mungkin diresolusikan hakikatnya hanya untuk kepentingan peribadi dalang belakang tabir tadi semata-mata.

Pastinya, habuan jawatan atau kontrak perniagaan akan menunggu selepas ini.

Soalan ketiga, maruah Melayu atau maruah siapa yang mahu diselamatkan melalui kongres itu nanti?

Tun Mahathir yang dijemput menyampaikan amanat berkenaan maruah Melayu dalam kongres esok adalah Perdana Menteri terkumpul selama hampir 24 tahun lamanya.

Beliau menjadi Perdana Menteri atas nama UMNO dan BN selama 22 tahun dan kini memegang kuasa bersama Bersatu dan PH kira-kira setahun lima bulan.

Jika dengan peluang berkuasa selama hampir 24 tahun daripada 62 tahun negara merdeka, tetapi masih lagi mahu menjerit tentang maruah Melayu, ia dengan sendirinya bermakna kegagalan Tun Mahathir sebagai seorang Perdana Menteri.

Maka, soalan keempat, apa yang Tun Mahathir telah lakukan bagi tempoh hampir 24 tahun berkuasa selama ini dalam konteks menolong serta membantu orang Melayu?

Wajarkah dengan kuasa ada dalam tangan, tapi masih mahu berkongres bagai dengan mulut untuk memperkatakan tentang maruah Melayu?

Kuasa yang pernah dan sedang dalam genggaman sekarang digunakan untuk apa dan menolong siapa selama ini? (Shahbudindotcom 05/10/2019)


No comments: