Mahasiswa perlu berfikiran kritis – Anwar
Pemikiran kritis terutama dikalangan pelajar universiti merupakan elemen penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kelestarian negara.
Pengerusi Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-IIUM) Datuk Seri Anwar ketika menyampaikan ceramah umum pada Seminar Antarabangsa Integrasi Ilmu di Universiti Malaysia Sabah menegaskan kemahiran itu mampu membantu meningkatkan taraf kehidupan dan ekonomi masyarakat.
“Tanpa pemikiran kritis, anda tidak dapat menghasilkan rumusan secara menyeluruh.
“Di universiti, kita perlu belajar, menilai dan menyoal,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menambah, integrasi ilmu juga penting untuk memahami tentang nilai keadilan, moral dan etika serta keseimbangan hubungan sesama komuniti.
“Masyarakat perlu berusaha mencapai kecemerlangan tetapi pada masa sama menjaga keharmonian, kerohanian dan material, pengetahuan dan tingkah laku,” katanya lagi. – RF8 Media