Pengarah SRC letak jawatan kerana akaun tidak diaudit
Bekas ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd., Tan Sri Ismee Ismail mendedahkan beliau meletak jawatan dalam SRC kerana isu berbangkit berhubung resolusi meluluskan akaun syarikat untuk tahun 2013 yang tidak diaudit.
Ismee, 54, yang juga bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata, demikian di Mahkamah Tinggi hari ini semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, pada perbicaraan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Ishak : Boleh beritahu sebab-sebab Tan Sri letak jawatan
Ismee : Saya letak jawatan kerana isu yang berbangkit berkaitan dengan akaun audit SRC untuk tahun 2013 di mana pengurusan SRC terdahulu meminta ahli lembaga menandatangani resolusi untuk meluluskan akaun audit 2013.
“Tetapi kemudian, kami mendapati akaun audit yang kami luluskan belum diaudit.
“Saya maklum mengenai akaun itu melalui akhbar yang melaporkan SRC tidak buat akaun dengan CCM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) oleh kerana itu, saya sebagai pengerusi (mesyuarat ahli Lembaga Pengarah SRC) saya pastikan akaun ditutup dan selepas ia ditutup saya buat keputusan untuk meletakkan jawatan,” katanya.
Ishak : Siapa pengurusan SRC
Ismee : Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.
Semasa diminta Ishak membacakan satu dokumen bertajuk ‘Tidak memfailkan penyata kewangan yang telah diaudit pada 31 Mac 2013’, antara lain Ismee berkata: “Lembaga telah melahirkan rasa kecewa dengan ketiadaan penyata kewangan difailkan”.
Beliau berkata Nik Faisal meminta maaf kerana mengelirukan lembaga dan setiausaha syarikat, Terence Geh menyatakan kesal kerana tidak mengemaskini lembaga tersebut.
Ditanya sama ada beliau tahu apakah tindakan yang diambil oleh Nik Faisal untuk memperbetulkan perkara itu, saksi pendakwaan ke-39 itu, berkata selepas beliau berhenti, beliau dimaklumkan tempat Nik Faisal telah diganti oleh seorang bernama “Datuk Azhar”.
Ismee berkata beliau ingin meletakkan jawatannya sejak Mei 2014 tetapi tarikh peletakan jawatannya berkuat kuasa 15 Ogos 2014.
Kepada soalan mengenai pinjaman kedua SRC berjumlah RM2 billion, saksi itu berkata merujuk minit mesyuarat ahli Lembaga Pengarah SRC bertarikh 20 Dis 2012, juga terdapat tandatangan Menteri Kewangan Diperbadankan ketika itu iaitu Najib.
Ismee turut mengesahkan minit mesyuarat bagi tahun 2011 dan 2012, di mana beliau yang mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah akan menandatangani setiap minit mesyuarat tersebut.
“Secara lazimnya saya akan menandatangani setiap minit mesyuarat ahli Lembaga Pengarah SRC,” katanya.
Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan hari ke-21 di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.