MP Jelutong lapor polis gesa Najib disiasat pecat AG, TPM pada Julai 2015



Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hari ini membuat laporan polis terhadap mantan Perdana Menteri, Najib Razak berhubung peristiwa pemecatan timbalan perdana menteri, peguam negara dan rombakan besar-besaran agensi kerajaan pada Julai 2015.

Beliau merujuk kepada pemecatan bekas peguam negara Abdul Gani Patail dan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin pada Julai 2015 serta rombakan terhadap beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Audit Negara.

“Saya ada membaca satu artikel oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang menggesa polis menjalankan siasatan berhubung tindakan Najib memecat serta merombak pegawai-pegawai kerajaan pada Julai 2015.

“Berikutan gesaan dibuat beliau (Kit Siang), saya terpanggil untuk membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan kerana jika tiada laporan polis, pihak berkuasa (polis) tidak boleh menjalankan siasatan,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di Pulau Pinang.

Kit Siang dalam kenyataan sebelum ini mendakwa Najib merancang apa yang dipanggilnya sebagai peristiwa Hari Hitam dan Minggu Pemecatan Besar-Besaran melibatkan pemecatan Gani, Muhyiddin dan rombakan agensi kerajaan.

Pemimpin veteran DAP itu mendakwa Najib merancang operasi yang menyerang prinsip demokrasi itu sebagai usaha untuk melenyapkan skandal 1MDB. 

No comments: