BAYANGKAN APA REAKSI TUN M JIKA LANTIKAN POLITIK KETUAI SPRM INI DILAKUKAN OLEH NAJIB…





Kritikan veteran DAP, Lim Kit Siang berhubung lantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilihat amat tepat dan terbaik sekali.
Kata beliau, perlantikan yang dibuat oleh Tun Mahathir Mohamad itu, meskipun tidak menyalahi undang-undang, tetapi ia adalah salah dari segi politik.
Ini kerana, tegas Kit Siang, perlantikan itu tidak disahkan oleh Parlimen sebagaimana janji manifesto PH dalam PRU14 lalu.
“Ini mewujudkan keadaan kurang senang di mana Perdana Menteri, walaupun betul secara perlembagaan, tetapi dari segi politiknya adalah salah dalam menggunakan prerogatifnya untuk melantik Latheefa,” kata beliau.
Malah, tambah Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu lagi, jika Latheefa tidak terlibat dalam lantikan ini, bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu pasti menjadi individu paling ke depan mengkritik kaedah perlantikan yang sama.
Kenyataan Kit Siang ini seharusnya menyedarkan Tun Mahathir bahawa selain undang-undang atau perlembagaan perlu dipatuhi, iltizam politik atau janji pilihanraya juga perlulah dipenuhi.
Kedua-dua perkara itu seharusnya berjalan selari kerana dalam sistem demokrasi, kuasa sebagai kerajaan akan diadili rakyat setiap lima tahun sekali.
Lagi pun, yang akan memastikan parti politik mampu bertahan ialah idealisme dan sejauh mana janji kepada rakyat sentiasa ditunai sebagaimana dijanjikan.
Dalam hal ini, cuba kita bayangkan jika lantikan orang politik mengetuai SPRM ini dilakukan oleh pentadbiran BN atau di bawah era Najib Razak misalnya, apa agaknya reaksi Tun Mahathir mengenainya?
Apakah beliau boleh bersetuju dan mampu mengawal dirinya daripada tidak membelasah Najib dengan kritikan yang keras?
Tun, janganlah mudah lupa? (Shahbudindotcom 10/06/2019)

No comments: