Orang tak suka kerajaan PH kerana tak bagi ‘cash’
Kerajaan PH tidak begitu disukai sesetengah rakyat kerana tidak meneruskan amalan pentadbiran lama yang memberi “duit percuma”, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kerajaan lama suka beri wang percuma kepada rakyat, semua orang dapat wang percuma,” katanya pada Persidangan Antarabangsa ke-25 mengenai Masa Depan Asia: Mencari Tata Global Baru di Tokyo hari ini.
“Tapi kini kita (PH) sudah ambil alih, kita perlu tanggung hutang beban hutang, kita tak ada duit dan kita tak boleh beri duit percuma.
“Dan apabila kita tak beri duit percuma, orang tak suka kita,” kata pengerusi PH itu.
Bagaimanapun, tambah Dr Mahathir, kerajaan perlu berhati-hati serta cermat dalam menguruskan kewangan negara untuk memperbetulkan masalah kewangan.
Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya ketidakpuasan hari rakyat terhadap kerajaan PH terutamanya orang Melayu baru-baru ini.
Tinjauan yang dijalankan Merdeka Center menunjukkan rating PH dan Dr Mahathir menurun.
Sementara itu, Dr Mahatahir mendakwa pentadbiran lama BN bertanggungjawab dalam membentuk mentaliti rakyat yang bergantung kepada bantuan kewangan percuma.
Menurutnya, mentaliti seperti itu tidak baik untuk negara.
“Kita mahu betulkan perkara ini. Negara yang rakyatnya bergantung kepada duit percuma daripada kerajaan tidak akan berkembang. Hanya negara yang rakyatnya bekerja keras akan berkembang,” katanya.