SEREMBAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Ia membabitkan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, R Malar (Bebas), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Dr S Streram.
Pengumuman rasmi calon layak bertanding dibuat Pegawai Pengurus PRK DUN Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini, jam 10.30 pagi tadi, selepas tempoh penamaan calon berakhir jam 10 pagi dan tiada borang pencalonan ditolak.
PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.
Pada PRU-14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi berkenaan selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan SPR Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kali ini, Dr Streram, 60, yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau dan pakar bius berusia 60 tahun diberi peluang kedua sebagai calon PH.
Sementara itu, Malar, 51, berasal dari Port Dickson adalah suri rumah dan bekas penyampai radio di Toronto, Kanada menerusi program slot Kampungku, manakala Mohd Nor, 67, ialah bekas pensyarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan.
PRK DUN Rantau adalah ketujuh diadakan selepas PRK DUN Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia, Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih.
Hari mengundi awal bagi PRK DUN Rantau ditetapkan pada 9 April manakala hari mengundi pada 13 April.