Anwar tak kata mahu jadi PM lebih awal dari 2 tahun – Tun M
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak pernah memaklumkan hasrat menjadi perdana menteri lebih awal daripada tempoh dua tahun yang dicadangkan.
“Dia (Anwar) tak ada kata ‘saya mahu jadi perdana menteri lebih awal’ atau seumpamanya,” kata Mahathir dalam wawancara dengan Sin Chew Daily, Isnin lalu
Mahathir menegaskan bahawa beliau akan menepati janji untuk menjadi perdana menteri selama dua tahun.
“Mungkin lebih sedikit, tapi saya sudah janji, saya akan tunaikan janji,” katanya.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bagaimanapun enggan memberi pandangan sama ada beliau melihat Anwar sebagai calon terbaik menggantikannya.
“Bukan saya yang menilai perkara itu. Apa yang saya kata, ketika kita tubuhkan Pakatan Harapan (PH), kita sudah setuju bahawa dia akan menggantikan saya.
“Saya tidak pernah kata dia calon perdana menteri yang baik atau buruk. Mereka cuma mahu saya berjanji bahawa saya tidak akan jadi perdana menteri dalam tempoh yang lama.
“Dalam dua tahun lagi saya 95 tahun, itu sudah terlalu tua,” katanya.
Selain persetujuan dalam kalangan PH, jelas Mahathir, jawatan Anwar sebagai pemimpin PKR menjadikannya orang yang layak menjadi perdana menteri berbanding bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam atau veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Tambah Mahathir lagi, beliau hanya mahu membetulkan kerosakan yang ditinggalkan pentadbiran sebelumnya yang kini, menurutnya, baru pada tahap 30 atau 40 peratus.
Meskipun Mahathir beberapa kali memberikan jaminan akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar, terdapat pihak termasuklah dalam Bersatu yang mencadangkan agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Cadangan itu turut dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya 30 Dis lalu