Gaji minimum akan dibawa semula ke kabinet – Kula
Isu kadar gaji minimum yang dinaikkan hanya RM50 kepada RM1,050 akan dibawa semula ke kabinet minggu depan, kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.
Katanya, beliau setuju untuk membentangkan semula isu itu kepada jemaah menteri selepas mendengar pandangan wakil 17 kesatuan sekerja yang bertemu dengannya hari ini.
“Saya akan bawa perkara itu ke Kabinet untuk memahami dan memikir semula apakah tindakan susulan yang perlu diambil dan pandangan-pandangan mereka (juga) akan dikaji dan akan diambilkira (oleh Kabinet),” katanya kepada wartawan di Parlimen, hari ini.
Kula menjelaskan isu berkenaan perlu diputuskan oleh jemaah menteri.
Pada pertemuan dengan wakil kesatuan sekerja itu pagi tadi, Kula menerangkan kepada mereka jumlah kenaikan RM50 itu dicapai oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan komplikasi luar jangka selepas parti itu mengambil alih kerajaan pada 9 Mei lalu.
“Antaranya adalah kerana kegawatan ekonomi sekarang di negara. Nombor dua adalah kita terlampau banyak berhutang kepada pihak-pihak berkenaan bila ambil kerajaan pada 9 Mei, kita tidak ketahui kita ada hutang sebanyak itu kepada pihak-pihak berkenaan,” katanya