BR1M versi PH diumum Jumaat ini
Kerajaan kini berada di peringkat akhir memuktamadkan proses menambah baik skim Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk golongan sasar di negara ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata melalui proses itu kerajaan melakukan beberapa penstrukturan semula skim bantuan tersebut selepas dilakukan kajian teliti.
“Selain itu penambahbaikan BSH ini juga menekankan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Luar Negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk mengurangkan ketirisan bantuan serta menangani isu inclusion and exclusion error (kesilapan kemasukan dan penyisihan),” katanya.
Lim berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar).
Zahidi sebelum itu menanyakan tentang kaedah penstrukturan semula pemberian BSH dan sejauh mana ia membantu penerima yang terdiri daripada kalangan berpendapatan rendah B40.
Kata Lim Bantuan Sara Hidup yang asalnya skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diberi untuk meringankan beban golongan B40 susulan pelaksanaan pelan rasionalisasi oleh kerajaan pada 2012.
Menurutnya melalui proses menambah baik itu aspek kaedah pembayaran yang baru juga dicadangkan iaitu dimasukkan 100 peratus ke akaun penerima.
“Bagi penerima yang tiada akaun bank, pembukaan akaun pemohon secara berkelompok berdasarkan persetujuan penerima akan dilakukan bank terlibat,” katanya.
Lim juga memberitahu maklumat lanjut berhubung penstrukturan semula skim bantuan tersebut akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 Nov ini